Lebih 200 orang mengadakan bantahan di luar ibu pejabat Astro di Kuala Lumpur bagi menuntut lebih banyak program tempatan berbahasa Tamil di stesen televisyen berbayar itu.

Mereka mendesak supaya saluran rangkaian 201 dijadikan saluran tempatan berbahasa Tamil 100 peratus.

"Astro mempunyai kira-kira 14 saluran dalam bahasa India, tetapi semuanya adalah dari India. Mereka tidak mempunyai satu pun saluran penuh Malaysia dalam bahasa Tamil.

"Selama 20 tahun di negara ini, jangan beritahu saya Astro tidak mampu menyediakan walau satu pun saluran (Tamil) Malaysia, kata Presiden, Pasukan Khas Kandungan Kreatif India Malaysia (MICCC), S Muniyandy.

Beliau berkata adalah penting untuk mempunyai lebih banyak kandungan Tamil tempatan dalam usaha untuk mengekalkan identiti bahasa.

"Kita perlu berita disiarkan dalam Tamil untuk berita tempatan, bukan berita asing," katanya.

Antara yang hadir membantah hari ini, termasuk artis tempatan, aktivis, wakil-wakil NGO dan ahli politik.

Mereka juga mahu Astro memberi peluang kepada artis-artis tempatan.

[Baca berita penuh]