Polis tak tolak kemungkinan serangan IS pada Hari Malaysia
Polis tidak menolak kemungkinan kumpulan pengganas IS melancarkan serangan semasa Hari Malaysia pada 16 September depan.
Ini kerana, kata Timbalan Ketua Polis, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim, kumpulan itu cuba membuat kehadiran mereka dirasai di negara ini.
Menurut Noor Rashid, kumpulan itu bergiat aktif di Malaysia sejak kebelakangan ini dan meningkatkan aktivitinya.
Beliau, bagaimanapun, memberi jaminan bahawa polis sedang berterusan memantau aktiviti mereka sejak kumpulan militan itu ditubuhkan.
"Orang ramai perlu yakin dengan keupayaan polis mengendali dan mengawasi kegiatan kumpulan seumpama itu," katanya yang dipetik akhbar The Star.
Pada malam Hari Kebangsaan Rabu lalu, polis berjaya menggagalkan kemungkinan serangan oleh tiga suspek yang disyaki militan IS.
Ketiga-tiga mereka didakwa merancang serangan ke atas pusat-pusat hiburan, kuil Hindu di Batu Caves serta balai polis dengan bom tangan atau senjata api.

