Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis nafi 'tidur', suruh Ali Tinju duduk diam
Diterbitkan:  Sep 2, 2016 6:34 PM
Dikemaskini: 10:58 AM

Polis menafikan “tidur” daripada bertindak terhadap kumpulan pelajar yang menganjurkan himpunan mendesak tindakan terhadap Malaysian Official 1 (MO1) pada Sabtu lalu.

“Kalau polis tidur, saya rasa negara kita tak akan dapat keamanan seperti yang kita kecapi hari ini,” kata ketua pasukan keselamatan itu Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Mengulas dakwaan aktivis antipembangkang Mohd Ali Baharom atau Ali Tinju, Khalid berkata banyak pihak tidak berpuas hati dan membuat laporan.

Susulan itu, katanya, Ali akan disiasat bawah Seksyen 504, Kanun Keseksaan, iaitu dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak memecahkan keamanan.

Bawah peruntukan itu, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman maksimum dua tahun penjara dan denda atau kedua-duanya.

“Kalau dia (Ali) kata kita tidur, kita akan panggil dialah untuk kita siasat,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman, Kuala Lumpur hari ini.

Menjawab soalan, Khalid juga berkata Ali tidak perlu mencampuri urusan polis dan harus “duduk diam-diam”.

“Itu bukan kerja dia. Nak tangkap ke tak tangkap itu kerja polis,” katanya lagi.

Polis menganggarkan kira-kira 2,000 orang hadir perhimpunan yang disokong pembangkang di ibu negara Sabtu lalu.

Kumpulan mahasiswa mendesak tindakan diambil terhadap MO1 yang disebut berkali-kali dalam saman sivil Jabatan Kehakiman (DOJ), Amerika Syarikat (AS) untuk merampas aset berkaitan 1MDB.

Jaringan media British BBC semalam melaporkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Rahman Dahlan sebagai mengesahkan MO1 adalah Najib.

Pengarah strategi BN itu bagaimanapun berkata DOJ tidak menyebut nama sebenar kerana Najib bukan sebahagian daripada siasatan.

Ali bersama aktivis Gerakan Merah pada 29 Ogos, dua hari selepas himpunan #TangkapMO1, berkumpul di depan ibu pejabat polis daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur bagi menyatakan bantahan mereka terhadap “kegagalan” polis menangkap penganjur acara itu.

Lihat Komen
ADS