Umno T'ganu laksana kempen '1011' pada PRU14
Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu (BPUNT) menyasarkan untuk menang di kawasan Parlimen Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Marang dan Dungun pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan datang.
Pengerusinya Ahmad Razif Abd Rahman yang juga Menteri Besar berkata satu modul khas sedang disiapkan untuk memastikan Barisan Nasional (BN) dapat menangi di kawasan itu selain mengekalkan kemenangan di empat Parlimen sedia ada.
"Tumpuan kepada empat Parlimen itu dikenali sebagai Kempen '1011' yang mewakili bilangan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dimenangi pada pilihan raya lepas iaitu satu di Kuala Nerus, tiada kerusi di Kuala Terengganu dan masing-masing satu kerusi DUN di Marang dan Dungun.
"Kempen ini akan memberi impak besar kepada BN dalam menyekat pengaruh pembangkang di empat Parlimen BN itu...dari Kuala Nerus hingga ke Marang, kita akan pagar kawasan ini, kita akan kepung
habis-habisan untuk pastikan kemenangan milik kita," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Marang yang dirasmikan Naib Presiden Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, hari ini.
Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Marang A Latiff Awang dalam ucapannya berharap kerajaan dapat menyegerakan tiga projek di tiga tapak tanah yang diwartakan sebagai milik Kementerian Pertahanan.
"Saya harap kerajaan jangan biarkan tanah ini lama-lama, nanti rugi. Kita ada seluas 615.6 hektar di Kampung Jenang yang diwartakan sebagai tapak kem tentera, 109.3 hektar tanah di Pulau Kerengga untuk pembinaan lapang sasar tentera dan ada 32 hektar tanah untuk pembinaan lapangan terbang tentera.
"Sekiranya tidak dapat dibuat kem tentera yang sempurna dalam masa terdekat, alangkah baiknya jika kawasan itu dijadikan tempat logistik untuk tentera buat sementara waktu,"katanya.
Selain itu, beliau berkata ketiga sayap parti UMNO Bahagian Marang mahu menang di empat kerusi DUN dan satu Parlimen pada PRU14 melalui gerak kerja dan turun padang sejak awal lagi.
- Bernama

