Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar selamat jalani prosedur angioplasti di Pusat Perubatan Gleneagles, Singapura, kata menteri besar.

Datuk Seri Khaled Nordin berkata, baginda telah dirujuk untuk rawatan di Singapura pagi semalam, setelah mengadu sakit dada semasa beriadah.

“Keadaan Tuanku waktu ini adalah stabil dan baik.

“Baginda dibenarkan kembali ke Johor pagi tadi dan sedang berehat di Istana Pasir Pelangi,” katanya.

Dalam kenyataannya hari ini, Khaled berkata baginda dinasihatkan oleh kumpulan pakar perubatan untuk mendapatkan rehat secukupnya, termasuk mengelak daripada melakukan perjalanan jauh.

“Kerajaan negeri Johor merakamkan ucapan terima kasih kepada pasukan perubatan baginda atas perhatian baik mereka terhadap tuanku Sultan.

“Kerajaan negeri mengajak seluruh rakyat Johor dan Malaysia untuk terus mendoakan agar kesihatan tuanku agar segera pulih,” katanya.