Hujan yang turun di bumi Johor sejak dua tiga hari yang lepas bukan sahaja mengurangkan sedikit pencemaran jerebu, tetapi juga membawa harapan kepada kawasan yang edang menghadapi masalah kekurangan air serius seperti di Mersing dan Kluang. 

Sebagai wakil rakyat kawasan Mengkibol, Kluang, saya berasa lega kerana catuan air di sini akan berakhir pada 15 September 2016, iaitu dalam tempoh kira-kira 10 hari lagi. 

Rakyat dapat kembali hidup biasa tanpa gangguan catuan air buat sementara waktu. 

Elok saya mengambil kesempatan ini untuk membangkitkan dua persoalan penting beserta cadangan berkenaan dasar pengurusan sumber dan keselamatan air di Johor.

Pertama, bilakah pihak yang mencemari sumber air disiasat, didakwa dan menerima hukuman yang setimpal di sisi undang-undang? 

Pada 14 Julai lalu sebanyak 120,000 akaun yang mungkin melibatkan setengah juta penduduk di sekitar Johor Bahru dikejutkan dengan gangguan bekalan air akibat pencemaran ammonia di Sungai Johor yang dikatakan berpunca daripada limpahan air sisa kilang sawit. 

Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengarahkan kilang sawit milik Sime Darby di Ulu Remis, Kota Tinggi itu supaya memberhentikan operasi selama 60 hari. 

Dua hari kemudian, kerajaan Johor melalui Badan Kawal Selia Air Johor (Bakaj) meminta Singapura menyalurkan tambahan enam juta gelen air terawat setiap hari ke negeri itu untuk menghadapi krisis air.  Keadaan hanya kembali normal beberapa hari selepas itu. 

Pada 26 Julai, Jabatan Alam Sekitar membatalkan arahan berhenti operasi kepada kilang sawit Sime Darby tersebut.

Pembangkang sokong

Selain siasatan JAS, apakah status siasatan oleh kerajaan Johor dan Bakaj? Apakah usaha penguatkuasaan yang dijalankan kerajaan negeri di kawasan tadahan air - khasnya di sekitar Sungai Johor yang merupakan sumber air utama di negeri Johor?

Rakyat sering tertanya-tanya mengapakah aktiviti manusia yang akan mencemari sumber air seperti perindustrian dan pertanian dibenarkan beroperasi dalam kawasan tadahan air?

Perlu diingatkan bahawa kerajaan negeri telah membuat pindaan menyeluruh kepada Enakmen Air 1921 Johor pada 2014 yang memberi kuasa luas kepada agensi kerajaan negeri untuk mengisytiharkan kawasan tadahan air (seksyen 4A), dan menetapkan bahawa pihak yang menceroboh atau mencemari sumber air boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM5000,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya (seksyen 7A) jika disabit kesalahan. 

Kami pihak pembangkang menyokong sepenuhnya usaha meminda undang-undang Enakmen Air tersebut di Dewan Undangan Negeri Johor.

Jadi, sudah tiba masanya kuasa baru di bawah Enakmen Air diguna pakai untuk membendung pencemaran dan sebarang aktiviti yang menjejaskan sumber air. 

Tiada gunanya undang-undang digubal tetapi akhirnya tidak dilaksanakan apabila keadaan memerlukannya seperti sekarang. Rakyat Johor ingin melihat syarikat yang cuai mencemari Sungai Johor itu disiasat, didakwa dan menerima hukuman yang setimpal di bawah Enakmen Air Johor ataupun undang-undang lain.

Kedua, sampai bilakah perbuatan mencuri air sungai atau air bawah akan dibiarkan berleluasa? Umum mengetahui ribuan kilang dan ladang di seluruh Johor mengabstrak air mentah dari sumber sungai atau air bawah tanah secara melampaui dan ada yang langsung tidak berlesen.

Sebagai contoh, di kawasan tadahan Empangan Sembrong, banyak diperhatikan ladang tani yang menyedut air dari sungai untuk tujuan pertanian tanpa sebarang lesen dan bayaran fi kepada kerajaan. 

Jawab dua persoalan

Diamalkan besar-besaran, sudah pasti ia menjejaskan sumber air negeri Johor. 

Saya mencadangkan kerajaan negeri dan Bakaj menetapkan kadar bayaran yang sesuai untuk kilang industri dan perladangan yang banyak mengabstrak air seperti diperuntukkan di bawah Enakmen Air. 

Hasil yang dipungut itu dapat digunakan untuk mempertingkatkan usaha pemulihaaan kawasan tadahan air bagi memastikan kemapanan sumber air di Johor.

Selain itu, hasil tersebut juga boleh dimanfaatkan untuk memberi insentif kepada pengguna supaya lebih berjimat dan sebahagiannya dimanfaatkan untuk membina keupayaan jangka panjang dan kepakaran badan kawal selia air iaitu Bakaj.

Daripada menyeksa pengguna biasa dengan kadar bayaran air tertinggi di Malaysia, kerajaan Johor patut mengambil pendekatan baru memburu mereka yang mencuri dan mendaftarkan kilang-kilang dan ladang-ladang besar yang banyak menyedut air mentah tanpa membayar apa-apa.  

Keselamatan air telah menjadi cabaran terbesar Menteri Besar Datuk Khaled Nordin sejak mengambil alih tampuk kuasa pada Mei 2013. 

Dalam kecemasan, Johor terpaksa meminta tambahan bekalan air terawat dari Singapura, sebuah pulau yang tiada gunung dan sungai semula jadi. 

Tambahan pula, baru-baru ini Sultan Johor Sultan Ibrahim meluahkan ketidakpuasan hati baginda atas prestasi pengurusan air.

Kesimpulannya, Khaled perlu menjawab dua persoalan yang saya timbulkan di atas dan membuktikan kepada rakyat bahawa parti pemerintah mempunyai susun atur baru yang berkesan untuk mempertingkatkan keselamatan air di Johor. 

Ujian pertama adalah menguatkuasakan Enakmen Air Johor dalam kes pencemaran sungai di Ulu Remis.


TAN HONG PIN jurucakap hal ehwal air DAP Johor merangkap ADUN Mengkibol