Seorang lelaki dalam keadaan bogel dan melumurkan badannya dengan sabun menceroboh masuk asrama puteri sebuah sekolah menengah di Pekan, Pahang semalam sebelum mencederakan seorang penghuninya dalam satu kejadian samun.

Pegawai Turus Cawangan Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat Pahang, DSP Azid Ismail berkata kejadian berlaku antara 3.15 dan 4 pagi ketika 15 penghuni asrama itu sedang nyenyak tidur.

"Suspek dipercayai telah menggeledah bilik berkenaan dan mengambil RM265 milik enam pelajar," katanya kepada pemberita hari ini.

Menurut laporan Bernama, dalam masa yang sama, lelaki itu yang menutup sebahagian mukanya dengan kain putih telah menghampiri seorang pelajar perempuan yang sedang tidur sambil mengacukan pisau tetapi dia ditendang oleh pelajar itu.

"Ini menyebabkan beberapa rakannya terjaga dan menjerit meminta tolong, dan pisau yang dipegang suspek terkena bahagian leher pelajar itu," katanya.

Azid berkata lelaki itu kemudiannya terus melarikan diri tanpa mengenakan sebarang pakaian.

Lelaki ditahan

Pengetua sekolah itu kemudian membuat laporan polis. Pelajar itu yang mengalami luka di bahagian leher dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Pekan.

Azid berkata polis telah menahan seorang buruh berusia dalam lingkungan 40-an di Pekan.

Dalam kes lain, pelajar Kolej Shahputra Kuantan, Syed Mohd Faizal Syed Badiuzaman, 19, terbunuh dalam kemalangan di hadapan kolej itu di sini semalam.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Ketua Trafik Negeri Pahang, Supt Baharuddin Sarbaini berkata, Syed Mohd Faizal, dari Perumahan Panching Kuantan meninggal dunia akibat kecederaan parah apabila motosikalnya berlanggar dengan sebuah lori tangki.