Ruang udara Malaysia masih tertutup kepada sebarang kegiatan ketenteraan oleh negara jiran khususnya Singapura atas sebab-sebab keselamatan, kata Setiausaha Parlimen Kementerian Luar Datuk Zainal Abidin Osman.

Menurutnya, pembatalan penggunaan ruang udara negara kepada Singapura dibuat pada 18 September 1998, dan sehingga hari ini kerajaan belum memutuskan untuk memberi semula keizinan untuk latihan ketenteraan.

"Kita sememangnya berkeras dalam banyak isu yang timbul antara kedua-dua negara. Banyak perkara yang kita putuskan atas ketegasan kerajaan bagi menjaga kedaulatan negara dan keselamatan," katanya ketika menjawab soalan Datuk Mohamed Aziz (BN-Sri Gading) di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut laporan Bernama , Zainal Abidin berkata, keistimewaan yang pernah diberikan kepada Tentera Udara Singapura (TUS) adalah berdasarkan perjanjian Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) pada 1973, Northern Corridor pada 1982 dan Low Blind Area pada 1983.

"Menerusi ketiga-tiga perjanjian tersebut, kapal terbang TUS dibenarkan menggunakan ruang udara negara pada paras tidak kurang daripada 2,000 kaki," katanya.

Sebelum itu, ketika menjawab soalan Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) mengenai status rundingan dengan Singapura berhubung pembinaan jambatan baru bagi menggantikan Tambak Johor, Zainal Abidin berkata kerajaan sedang berusaha membuat persiapan rapi sebelum rundingan dibuat dalam masa terdekat.

Beliau berkata segala maklumat terperinci mengenai status rundingan itu tidak boleh dihebahkan untuk tidak menjejas rundingan.

"Isu ini adalah rumit kerana melibatkan perhubungan kedua-dua negara dan kita mengambil masa bagi mengadakan satu perbincangan rapi," katanya.