Terjemahan Naib Ketua Pemuda Umno, Jamaluddin Khairy juga "bersalah" sepertimana malaysiakini kerana memberi kenyataan yang 'salah' kepada sebuah akhbar asing dan kerana itu seharusnya disiasat sama oleh Pejabat Peguam Negara, kata Ketua Pembangkang Lim Kit Siang hari ini.

Merujuk kepada kenyataan Khairy (foto) kepada akhbar International Herald Tribune baru-baru bahawa kerajaan memutuskan untuk tidak menggali semula kes-kes rasuah pada masa lampau, beliau berkata, memandangkan pihak kerajaan telah berulangkali menafikan perkara itu, maka Khairy perlu disiasat.

"Jika itulah keadaannya, apakah Khairy tidak bersalah sepertimana malaysiakini yang dituduh 'menipu' kerana sengaja menyiarkan berita palsu? Adakah Khairy disiasat oleh Pejabat Peguam Negara?" soalnya sewaktu membahaskan Rang Undang-undang Kedua Bekalan Tambahan 2004 di Dewan Rakyat.

Dalam gurauan April Fool tersebut, malaysiakini 'mendakwa' tiga orang menteri dan seorang menteri besar akan didakwa atas tuduhan rasuah.

Khamis lalu, Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik berkata malaysiakini sedang disiasat oleh Pejabat Peguam Negara dan Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi (MCMC).

Menurut ketua pembangkang itu lagi, walaupun Jamaluddin telah menjelaskan bahawa beliau tidak pernah menggunakan perkataan "imuniti", tetapi dia tidak menafikan ketepatan petikan kenyataannya itu.

Beliau mendakwa bahawa kredibiliti Khairy lebih besar daripada seorang menteri kerana dia "bukanlah sebarangan Naib Ketua Pemuda".

Katanya, sebagai menantu Perdana Menteri dan pakar strategi utama dalam dasar Abdullah (Ahmad Badawi), Khairy adalah 'orang dalam' dan mempunyai pengaruh dan kuasa yang lebih daripada majoriti menteri kabinet.

Persepsi masyarakat antarabangsa

Katanya, semakin banyak media antarabangsa yang menyuarakan kekecewaan mereka terhadap sikap perdana menteri yang 'bercakap tidak serupa bikin' berhubung kempen sifar rasuah dalam pentadbirannya.

Menurutnya, tidak ada sebarang konspirasi media antarabangsa terhadap Abdullah, tetapi itulah persepsi yang sebenarnya terhadap perkara tersebut di dalam dan luar negara.

Bagaimanapun, kenyataan Kit Siang mengenai Khairy itu ditegur oleh beberapa Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN).

Mohamad Aziz (BN-Sri Gading) berkata, ketua pembangkang itu perlu berhati-hati ketika membuat sebarang tuduhan.

"Ini akan membuat orang luar beranggapan bahawa menantu Perdana Menteri lebih tahu daripada menteri kabinet. Ini satu tuduhan liar. Tiada salahnya menjadi menantu seseorang. Dia (Khairy) tidak mencampuri urusan pentadbiran," katanya.

Bung Mokhtar Radin (BN-Kinabatangan) pula berkata, tindakan tidak sepatutnya diambil terhadap seseorang hanya berdasarkan kepada "persepsi".

"Jika Peguam Negara berkata tiada kes, kita tidak boleh menghukum orang yang tidak bersalah," tambahnya.