Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Idea lipas, tikus, nyamuk di sel komen sepintas lalu
Diterbitkan:  Sep 4, 2016 7:39 PM
Dikemaskini: 11:54 AM

Bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Noor Abdullah menegaskan kenyataan beliau bahawa sel menempatkan banduan perlu ada nyamuk, tikus, lipas yang boleh mengganggu pesalah dibuat secara sepintas lalu.

"Secara sepintas lalu, saya cakap (kalau) nyamuk, lipas atau tikus sekalipun (ada) dalam sel banduan, seperti rumah kita sendiri biarlah," kata Mohd Noor dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Noor berkata perkara itu di dalam konteks wawancaranya bersama Bernama yang menyentuh mengenai cara memerangi jenayah kejam dan keji seperti pembunuh upahan, peras ugut dan rogol berkumpulan.

Bagaimanapun, beliau sekali lagi mengulangi bahawa penjara tidak seharusnya memberikan “kemudahan ala VIP” kepada banduan.

"Penjara tidak seharusnya menjadi rumah tamu dengan tempat tinggal dan makan percuma.

"Layanan sedemikian hanya akan mendorong banduan kesalahan jenayah kecil untuk kembali ke penjara," katanya.

Mohd Noor sebelum ini menggesa pihak berkuasa memastikan pesalah menjalani hukuman penjara ditanamkan dengan rasa takut, dan salah satu caranya ialah melalui ketidakselesaan dalam sel mereka.

“Saya tidaklah menyeru Jabatan Penjara untuk bertindak kasar, atau memukul banduan, tetapi Jabatan Penjara perlu menimbulkan keadaan tidak selesa kepada tahanan sehingga mereka kesal dan tidak lagi mahu masuk penjara.

“Misalnya, sel yang banduan ditempatkan itu perlu ada nyamuk, tikus, lipas yang boleh mengganggu pesalah,” katanya dipetik Bernama.

Mohd Noor yang pernah dijemput berucap di program anjuran pertubuhan hak Melayu Perkasa, berkata amalan memberi “kemudahan ala VIP” kepada banduan perlu dihentikan, sebaliknya mereka harus diberi layanan setimpal dengan kesalahan.

Mengulas lanjut, Mohd Noor berkata apa yang dilaporkan berhubung kenyataan beliau itu merupakan satu penghinaan kepadanya.

"Ini bekas hakim yang menghabiskan masa selama 46 tahun di mahkamah dan Pejabat AG (Peguam Negara). Saya layak dan berpengalaman serta penuh dengan kasih sayang dan belas kasihan dan kini (dipanggil) pembodek dan bodoh.

"Moga Allah memberi rahmat kepada jiwa-jiwa ini," katanya.

Selain itu, Mohd Noor juga menekankan bahawa perlunya hakim untuk menegakkan keadilan.

"Timbalan pendakwa raya mesti melawan setiap kes dengan semangat dan ketabahan untuk mengimbangi peguam yang menggunakan segala cara untuk melepaskan tertuduh," katanya.

Malah, beliau juga berkata tanggapan bahawa adalah lebih baik untuk melepaskan 99 orang yang bersalah daripada menghantar seorang yang tidak bersalah ke penjara adalah salah.

"Hakim-hakim perlu pergi ke neraka jika dia mensabitkan orang yang tidak bersalah atau jika dia membebaskan seorang lelaki yang bersalah," katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekuti Lawyers for Liberty (LFL), Eric Paulsen berkata pihaknya bimbang dengan cadangan tersebut.

"Daripada mundur dan membiarkan keadaan penjara lebih teruk dengan rekod 18 kematian setiap bulan lebih baik kerajaan berusaha ke arah pendekatan lebih moden untuk melindungi kesejahteraan dan maruah tahanan, menggalakkan pemulihan dan bukan hukuman, menyediakan mereka untuk hidup di luar supaya mereka dapat kembali ke pangkuan masyarakat dan tidak berulang ke dalam tingkah laku jenayah," katanya.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS