Mufti cadang 7 doa hindar virus, lawat pesakit Zika
Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri mencadangkan tujuh doa bagi menghindari dan ketika menziarahi pesakit yang dijangkiti virus Zika.
Cadangan itu, termasuk lima doa munajat dan dua doa ketika menziarahi pesakit, itu dipetik daripada hadis-hadis dan ayat al-Quran.
Bagi doa munajat, beliau antaranya mencadangkan hadis riwayat Bukhari (bermaksud):
“Ya Allah, Wahai Tuhan manusia. Hilangkan kesakitan ini. Sembuhkanlah. Engkau jualah Penyembuh. Tiada kesembuhan melainkan melainkan kesembuhan daripada Engkau. Kesembuhan yang tidak meninggalkan kesakitan.”
Doa-doa itu dimuat naik di laman Facebook beliau.
Sementara itu, mufti juga dijadual akan menjelaskan hukum pengguguran janin yang ada komplikasi mikrosefali (saiz kepala kecil) susulan virus itu pada hari ini.
“Jawapan dalam Bayan Linnas (penjelasan isu semasa) Hukum Hakam Berkaitan Virus Zika akan dikeluarkan pada hari Isnin (5 September 2016),” katanya.

