Pemuda PAS Wilayah Persekutuan menuntut projek RM650 juta bagi memperindah kawasan sekitar Tugu Negara di Kuala Lumpur sebagai taman hutan hujan dalam bandar, ditangguhkan.

Ketuanya Khairil Nizam Khirudin berkata tiada keperluan untuk projek itu pada masa ini berbanding keperluan rakyat yang lebih utama.

Beliau malah bimbang ia akan mengulangi “kegagalan” projek dusun bandar di Jalan Bellamy yang berdepan masalah dan keraguan kewangan, seperti dilaporkan Laporan Ketua Audit Negara 2012.

“Kitaran krisis ekonomi juga dijangka bakal berlaku pada tahun 2017/2018.

“Maka, apa perlunya kerajaan dan agensinya membelanjakan peruntukan yang besar untuk projek yang tidak berimpak tinggi tersebut?” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan suntikan dana itu untuk projek di kawasan seluas 66 ekar itu semalam, yang sebahagian besarnya (RM500 juta) akan dibiayai Khazanah Nasional.

"Hutan tropika mini dalam bandar raya" itu akan menjadi sebahagian daripada ikon utama Kuala Lumpur dan fasa pertama akan siap pada pertengahan 2018.

Projek itu diumumkan ketika isu mengenai kewajaran tugu menggambarkan makhluk hidup dianggap haram dalam Islam diperkatakan, selepas timbalan mufti Perak Zamri Hashim mengeluarkan pandangannya.

Dalam kenyataan hari ini, Khairil Nizam mencadangkan peruntukan sama diagihkan kepada sektor rangsangan ekonomi yang lebih besar termasuk perbelanjaan kepada golongan miskin dan mudah terjejas.

“Kami tidak mahu projek tersebut diteruskan buat masa ini,” katanya.

Penganalisis: Tak kena masa

Sementara itu, penganalisis politik Dr Mazlee Malik menyifatkan tindakan kerajaan menyuntik dana sebanyak RM650 juta bagi memperindahkan Tugu Peringatan Negara tidak kena pada masanya.

Mazlee berkata ini kerana dalam keadaan ekonomi hari ini rakyat sedang bergelut dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.

"Waktu kurang sesuai di kala rakyat sedang bergelut dengan kemelut ekonomi dan kos hidup yang semakin meningkat," kata Mazlee kepada Malaysiakini.