Pimpinan Parti Amanah Negara (AMANAH) memohon isu berkaitan 1MDB dibawa ke mesyuarat Majlis Raja-raja yang akan berlangsung pada Oktober ini.

Ketua Komunikasi AMANAH, Khalid Samad berkata langkah itu perlu memandangkan tidak ada sebarang tindakan oleh kerajaan berhubung tuntutan mahkamah oleh Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat untuk merampas aset lebih AS$1bilion yang dibeli dengan dana yang diseleweng dari 1MDB di negara itu.

“Persolanan 1MDB pernah ditegur oleh Yang di-Pertuan Agong pada tahun lepas kerana pada ketika itu isu itu hangat dibincangkan.

“Seperti mana yang kita tahu perkara ini telah lama berlaku hingga ke hari ini tidak ada ada apa- tindakan oleh kerajaan Malaysia terhadap harta yang telah dirampas oleh DOJ,” katanya kepada pembererita di luar Istana Negara hari ini.

Justeru, hari ini Khalid bersama Ketua Biro Antarabangsa AMANAH, Datuk Raja Kamarul Bahrin Raja Ahmad Shah dan Naib Ketua Pemuda, Wan Anwar Wan Ibrahim menghantar sepucuk surat kepada Seri Paduka memohon perkara itu dibincangkan pada Oktober nanti.

“Surat ini telah diterima dengan baik dan dipesan juga untuk kita sampaikan surat yang sama kepada pemegang mohor Raja-raja Melayu yang pejabatnya di Jalan Bellamy.

“Ini kerana mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu akan diadakan pada bulan Oktober iaitu mungkin hampir tarikh yang sama sidang parlimen,” kata Khalid.

Sementara itu, Raja Kamarul Bahrin pula berkata meskipun Yang di-Pertuan Agong telah melahirkan kebimbangannya tahun lalu namun sehingga kini tidak sebarang tindakan yang diambil.

“Sebenarnya ini bukan hanya memohon Duli Yang Maha Mulia Tuanku-tuanku Raja-raja Melayu tapi sokongan kita atas tuanku sendiri pada mesyuarat 7 Oktober 2015.

“Perkara ini ditimbulkan oleh Majlis Raja-raja dan ini agak luar biasa. Sebelum ini tak pernah. Sudah hampir setahun benda ini dikemukakan tapi tidak ada apa-apa tindakan,” katanya.

Sebelum ini bekas setiausaha politik Tun Dr Mahathir Mohamad, Matthias Chang bergandingan dengan ADUN Salor, Datuk Husam Musa dalam memfailkan saman tindakan perwakilan atau ‘class action’ di Amerika Syarikat terhadap beberapa individu yang dikaitkan dengan 1MDB.

Saman itu bertujuan memohon ganti rugi bagi kecurian dana firma pelaburan negara dan mendapatkan semula aset yang diperoleh dengan menggunakan dana berkenaan.

Dalam pada itu, Khalid berkata isu berkaitan 1MDB ini akan dibawa ke sesi parlimen akan datang.

“Pasti ada, ia akan dikemukakan kalau tidak oleh ketua pembangkang, ia akan dibawa oleh ahli parlimen dari AMANAH.

“Sebaik-baiknya kita nak dibawa oleh ketua pembangkang kerana itu keutamaan untuk melihat betapa pentingnya isu ini,” katanya.