Nik Aziz: Sikap pengotor rakyat Ktan punca demam kepialu
Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata demam kepialu yang kini melanda Kelantan adalah berpunca daripada sikap pengotor rakyatnya sendiri yang tidak pernah mengambil endah nasihat dan saranan pelbagai pihak.
Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata demam kepialu yang kini melanda Kelantan adalah berpunca daripada sikap pengotor rakyatnya sendiri yang tidak pernah mengambil endah nasihat dan saranan pelbagai pihak.
Beliau yang kecewa, menyelar sikap pengotor rakyat Kelantan itu, sebagai punca utama berlakunya demam berbahaya itu sehingga mengorbankan dua nyawa setakat ini.
"Saya ingatkan balik kenyataan saya dulu bahawa penduduk Kelantan pengotor dan mereka kena akui hakikat ini," katanya kepada pemberita selepas solat hajat dan perasmian pejabat baru Urusetia Pembangunan Wanita, Belia dan Sukan di Kota Bharu hari ini.
Menurut laporan Bernama, sejak dua minggu lalu, 171 kes demam kepialu dengan dua kematian dikesan di tiga daerah di Kelantan iaitu Kota Baharu, Machang dan Tumpat.
Menteri Kesihatan Datuk Dr Chua Soi Lek dalam reaksinya semalam berkata 68 daripadanya adalah kes yang disahkan manakala bakinya merupakan kes yang disyaki.
Dua kematian itu membabitkan dua pelajar masing-masing dari Universiti Tun Abdul Razak dan Politeknik Kota Baharu iaitu Siti Mardiah Nik Yahya, 23, dari Kampung Sireh dan Hasmawati Mohamad, 20, dari Kampung Chepa, Sering yang kedua-duanya terletak di Kota Bharu.
Falsafah berwuduk
Siti Mardiah meninggal dunia di Hospital Kota Baharu pada 15 April lalu manakala Hasmawati meninggal dunia di Hospital Universiti Sains Malaysia, dua hari lalu.
Mengulas perkara itu, Nik Aziz berkata akhbar tempatan perlu membantu kerajaan negeri untuk menyedarkan masyarakat Kelantan bagaimana perlu menjaga kebersihan.
"Boleh jadi mereka tidak mendengar nasihat saya sebelum ini dan akhbar saudara boleh membantu kita," katanya.
Beliau berkata generasi baru di Kelantan mungkin sudah terdidik dengan sikap menjaga kebersihan tetapi yang menjadi masalah adalah generasi lama yang masih terbawa-bawa dengan sikap pengotor itu.
"Rakyat Kelantan dahulu jika rumah di atas, di bawah rumah itu diletaknya lembu yang kononnya untuk mengelak dari rumah dimasuki pencuri dan bila bangun esok pagi mereka dah biasa tengok tahi lembu atau tahi kambing," katanya.
Sehubungan itu, Nik Aziz meminta masyarakat Kelantan mengambil falsafah berwuduk iaitu untuk menyucikan diri bagi mengabdi kepada Allah.

