Terjemahan Walaupun Seberang Perai mempunyai kawasan paya bakau yang luas, dengan beribu-ribu jenis flora dan fauna, serta didiami burung berhijrah dari jenis yang jarang ditemui, tetapi kerajaan Pulau Pinang gagal memanfaatkan potensi tersebut dan memajukannya sebagai taman eko-pelancongan utama.

Itulah pandangan Pengerusi Jawatankuasa DAP Rakyat Menentang Pembaziran Kerajaan, Teh Yee Cheu yang tidak faham mengapa sumber-sumber semulajadi di Seberang Perai tidak dimanfaat dan dimajukan.

Menurutnya, kawasan sepanjang Bagan Tambang, Penaga, Kuala Muda, Sungai Perai, Sungai Derhaka, Sungai Cenaam, Sungai Udang dilitupi paya bakau putih dan merah, dan kaya dengan pelbagai jenis flora dan fauna. Kawasan paya berlumpur itu merupakan tempat pembiakan dan persinggahan semulajadi burung berhijrah.

Tahun lalu, penyelidik asing telah mengesan burung berhijrah seperti Siberian Nordmann Greenshanks di hutan bakau Bagan Tambang. Pulau Pinang menjadi tempat kediaman kira-kira 50 daripada 1,000 spesis burung Siberian yang semakin pupus.

"Paya bakau, flora, fauna dan burung-burung ini sepatutnya dipasarkan dan dipromosi untuk tujuan pelancongan dan pendidikan.

"Orang luar, terutama ahli biologi, penyelidik paya bakau dan pencinta alam semulajadi akan tertarik dengan produk ini," kata Teh kepada malaysiakini.

Sektor pelancongan menjadi penyumbang terbesar kepada Pulau Pinang selepas sektor pembuatan. Kira-kira 3.4 juta pelancong 48 peratus dari dalam negeri melawat Pulau Pinang setiap tahun.

Teh menegur kerajaan Pulau Pinang kerana mengabaikan tanah besar dan terlalu memberi tumpulan kepada pembangunan pelancongan di kawasan pulau.

Sejak beberapa tahun lalu, katanya, kerajaan negeri hanya berminat memajukan produk pelancongan seperti membina hotels, kompleks membelibelah dan menganjurkan festival, sedangnya ia juga perlu memberi perhatian kepada pembangunan di tanah besar.

Pengangkutan sungai

Beliau mencadangkan supaya Sungai Perai dan Sungai Derhaka di daerah Seberang Perai Tengah dimajukan sebagai terusan pengangkutan utama bagi penduduk tempatan dan pelancong asing.

"Penduduk tempatan sebelum ini pernah menggunakan sungai untuk tujuan pengangkutan. Jadi, mengapa tidak sekarang," soalnya.

Kedua-dua sungai tersebut mempunyai hutan bakau, terutama Sungai Derhaka yang didiami oleh sejumlah kecil buaya putih yang jarang ditemui.

"Selain untuk tujuan pengangkutan, kedua-dua sungai tersebut menawarkan pandangan semulajadi untuk dinikmati dan dimanfaatkan oleh para penyelidik, pencinta alam semulajadi dan para pelajar," kata Teh.

Kerajaan negeri, tambahnya, juga sepatutnya memberi wajah baru kepada bandar lama Perai dan pelabuhan tukar barang yang kini tidak digunakan lagi.

"Tempat-tempat tersebut mempunyai potensi untuk dimajukan dan dipromosi sebagai produk pelancongan utama bagi pencinta warisan lama dan pembuat filem," kata The.

"Inilah masanya untuk kerajaan negeri memberi tumpuan kepada Seberang Perai," tambahnya.


ATHI VEERANGGAN adalah wartawan sambilan malaysiakini di Pulau Pinang.