Kematian Pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS) Rumie Azzan Mahlie dipercayai bukan kerana perbuatan khianat, kata Persuruhjaya Polis Negeri Datuk Talib Jamal hari ini.

"Berdasarkan siasatan yang dijalankan, kami yakin tiada unsur perbuatan khianat, namun keputusan muktamad mengenai punca kematian pegawai itu akan diputuskan oleh mahkamah," katanya dalam sidang akhbar di Kuching hari ini.

Menurut laporan Bernama , Talib berkata hanya mahkamah sahaja boleh memutuskan punca sebenar kematian Rumie, 31, berdasarkan bukti yang dikumpul dan dikemukakan oleh polis.

Talib yang ditanya sama ada laporan ahli patologi yang diterima oleh polis menunjukkan kematian Rumie konsisten dengan kecederaan yang dialami oleh seseorang yang jatuh dari bangunan tinggi, bagaimanapun enggan mengulas.

"Diharapkan siasatan dapat diselesaikan menjelang akhir bulan ini dan kertas siasatan dikemukakan kepada majistret dan peguam kanan persekutuan seperti diperlukan mengikut Kanun Prosedur Jenayah," katanya.

Rumie, lulusan kejuruteraan kimia dari Universiti Boston, ditemui mati dengan kecederaan di badan dan kepala di tempat letak kereta bangunan Persatuan Perkayuan Sarawak (STA) pada 11 pagi, 17 September lalu.

Rumie yang menyertai JAS Februari tahun lalu dikatakan membunuh diri dengan terjun dari tingkat 9 bangunan itu, tempat pejabat JAS beroperasi.

Ambil keterangan

Talib berkata polis setakat ini sudah merakamkan kenyataan daripada 11 saksi termasuk ahli patologi.

Beliau berkata sepasukan pegawai penyiasat telah pergi ke ibu pejabat JAS di Putrajaya semalam dan hari ini mereka akan berlepas ke Johor Bahru untuk mengambil keterangan daripada Dr Abd Rahman Awang, bekas pengarah JAS Sarawak yang kini bertugas sebagai Pengarah JAS Johor.

Talib turut menafikan dakwaan baba Rumie, Malie Jolhi, 57, bahawa polis tidak pernah menemubualnya dan isteri Rumie, Suraida Abd Lazid.

Beliau berkata polis telah menemubual Malie dan Suraida pada 20 Sept dan pada 7 dan 14 April lalu.

"Kita sedang melakukan yang terbaik untuk menyelesaikan siasatan kes ini secepat mungkin," katanya.

Pada 14 April lalu, Suraida,30, membuat kenyataan bahawa allahyarham suaminya sedang menyiasat satu kes membabitkan sebuah firma berpengaruh yang dikatakan telah melanggar pelbagai undang-undang alam sekitar.

Semalam Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk S.Sothinanthan dipetik sebagai berkata bahawa Rumie tidak pernah diberikan tugas untuk mengendalikan kes pengurusan sisa toksik, sebaliknya hanya terbabit dalam program kesedaran, pencegahan pencemaran dan pembaikan kualiti air sungai.