Tiada tanda-tanda PAS sudah berlembut
Terjemahan Tiga sampai tiga bulan lalu, PAS mengumumkan, parti itu akan "berlembut" dalam pendiriannya berhubung dasar kontroversi negara Islamnya. Bagaimanapun, beberapa perkembangan terkini menunjukkan apa yang berlaku adalah sebaliknya.
Terjemahan Tiga sampai tiga bulan lalu, PAS mengumumkan, parti itu akan "berlembut" dalam pendiriannya berhubung dasar kontroversi negara Islamnya. Bagaimanapun, beberapa perkembangan terkini menunjukkan apa yang berlaku adalah sebaliknya.
Sebelum ini, Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub berkata parti akan kembali kepada manifesto bersama Barisan Alternatif (BA) pada pilihanraya umum 1999 dan ini bermakna ia tidak akan lagi terlalu menekankan kepada penubuhan sebuah negara Islam.
Sehubungan itu, katanya, PAS akan hanya menyebut tentang Islam sebagai 'addeen' atau satu cara hidup. Sebuah jawatankuasa khas juga telah ditubuhkan untuk menjana semula imej parti itu.
Bagaimanapun, baru-baru ini, parti itu telah mengambil tindakan keras dengan menganjurkan demonstrasi, di samping bertelagah dengan badan-badan hak asasi manusia berhubung beberapa isu, termasuk cadangan penubuhan suruhanjaya antara agama.
Bulan lalu, PAS menjadi sasaran kritikan kerana mencadangkan etika berpakaian bagi wanita bukan Islam di Kelantan yang dikuasai parti itu, Beberapa ahli Parlimennya juga menyokong wakil rakyat Barisan Nasional yang mengkritik pakaian seragam 'seksi' yang dipakai oleh pramugari MAS.
Perlu lebih masa
Semalam, Salahuddin menegaskan, PAS tidak pernah "berpatah-balik" dalam janji-janjinya itu tetapi berkata, pihaknya memerlukan lebih masa untuk menukar dasarnya.
"Adalah agak sukar, dalam jangka masa yang singkat, untuk kita meyakinkan rakyat yang kita akan melembut imej (parti). Kita belum berada dalam keadaan yang sesuai...ia agak sukar untuk saya jelaskan," katanya ketika ditemui di Parlimen.
Menurutnya, pelbagai pendekatan telah diambil dalam menangani isu-isu seperti menganjurkan siri program 'turun padang' untuk mengubah persepsi rakyat terhadap PAS.
"Orang Melayu melihat perubahan kita, tetapi saya faham, masyarakat bukan Islam masih mempunyai persepsi buruk terhadap kita," katanya, sambil menambah majoriti orang Islam menyokong pendirian parti itu berhubung isu-isu yang berkaitan dengan agama.
Walaupun, orang awam masih menyamakan PAS dengan "keganasan dan perkauman", tetapi Salahuddin menegaskan, parti itu tetap mendokong demokrasi.
Beliau juga menegaskan, parti itu tetap berpegang teguh dalam memperjuangkan isu-isu berkaitan dengan agama kerana "ianya adalah perjuangan kita...kita tidak boleh bertolak ansur mengenainya".
Baru-baru ini, Salahuddin sendiri telah menarik diri daripada menganggotai Kaukus Parlimen mengenai Hak Asasi Manusia, kerana membantah keputusan badan itu menyokong kempen membantah pengawalan moral.
Seorang lagi pemimpin PAS, Datuk Kamaruddin Jaffar juga bersetuju bahawa reaksi keras parti tersebut mungkin tidak akan dapat menyakinkan rakyat bahawa ia kini dalam proses melembutkan pendiriannya.
"Saya bersetuju dalam kes-kes seumpama ini...kita dilihat sebagai ektrem atau keras, tetapi saya percaya kami bukan begitu...kami telah disalahfaham. Kami tidak boleh mengelak daripada bersikap jujur dan berterus terang berhubung perkara berkaitan dengan nilai-nilai Islam," kata Ahli Parlimen Tumpat itu.
Bagaimanapun, beliau mengakui bahawa enam ahli Parlimen PAS lebih banyak membangkitkan isu-isu berhubung dengan agama dalam sidang Dewan Rakyat, berbanding dengan isu-isu berkepentingan nasional.
"(Pandangan itu) agak betul...tetapi malangnya kami tidak mempunyai peluang untuk bercakap. Bila kami berpeluang bercakap, kami dilihat sebagai membangkitkan isu-isu agama sahaja. Saya bersetuju kami perlu bercakap mengenai isu-isu yang lebih meluas," katanya.
Menurut Kamaruddin, PAS sering terperangkap dalam 'keadaan malang' apabila ia serang menjadi sasaran kerana membangkitkan isu-isu yang berkaitan dengan agama.
Mengambil bantahan parti itu terhadap cadangan penubuhan suruhanjaya antara agama sebagai contoh, beliau berkata, bukan PAS sahaja yang menentangnya, tetapi juga Umno, Jabatan Kemajuan Islam (Ikim) dan Institut Kefahaman Islam (Ikim).
Liputan seimbang
Beliau menggesa pihak media supaya memberi liputan yang adil dan seimbang, di samping mengingatkan pucuk pimpinan parti itu supaya mengambil inisiatif untuk membetulkan presepsi negatif terhadap PAS.
"Para pemimpin perlu tampil secara terbuka dan menyuarakan pandangan mereka mengenai pelbagai isu yang dihadapi oleh negara...Kami telah dilihat sebagai sebuah parti agama, jadi apabila timbul isu mengenai agama, maka kami diminta untuk mengulasnya.
"Contohnya, dalam isu-isu antarabangsa yang tidak ada kena mengena dengan Israel dan Palestin, kami dianggap tidak relevan. Saya mahu melihat PAS dilihat relevan dalam semua isu," katanya.
Menurutnya lagi, adalah penting bagi PAS untuk kembali kepada semangat manifesto bersama BA sewaktu pilihanraya umum 1999 untuk mewujudkan satu gabungan pembangkang yang kuat.
Sementara itu, pemimpin veteran PAS, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman berkata, barisan kepimpinan baru yang bakal dipilih dalam muktamar parti itu Jun ini akan memberi gambaran lebih jelas mengenai dasar parti itu mengenai kerajaan Islam.
Bekas timbalan menteri besar Kelantan itu bagaimanapun, enggan mengulas lebih lanjut mengenai tajuk tersebut.
Dua minggu lalu, Halim, yang juga Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, menjadi sasaran selepas ulasannya menyokong poligami.
Beliau mendakwa, ibu tunggal yang tidak mendapat kepuasan seks mungkin terjerumus ke lembah pelacuran dan menambahkan lagi penyakit sosial, dan oleh itu beliau menyokong amalan poligami.
Ketika mempertahankan pandangan itu, Abdul Halim berkata, ia tidak boleh dilihat sebagai bersifat diskriminasi terhadap wanita.
"Fenomena ini adalah satu realiti dan ia adalah pandangan jujur saya...saya tidak bermaksud untuk menyinggung sesiapapun," jelasnya.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.