Seorang bekas penyanyi kumpulan Res2 dan seorang pelakon lelaki hari ini mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Ampang hari ini, atas tuduhan menggunakan dadah.

Lily Zarina Khalil, 27, yang juga di kenali sebagai Baby dan Samzy Fuzette A. Samad, 29, didakwa menyuntik dadah jenis methamphetamine ke tubuh mereka di Villaria Kondominium, Taman Bukit Mulia, Bukit Antarabangsa, di Kuala Lumpur pada jam 3.30 petang 11 April lalu.

Mereka didakwa mengikut Seskyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Pindaan 2003), yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun dan denda tidak melebihi RM5,000.

Baby, yang bekerja sebagai pegawai pemasaran di sebuah syarikat produksi di Setapak, pernah berlakon dalam filem "Gemerlapan" manakala Samzy, pernah berlakon dalam drama "Cucu Atuk" dan kini merupakan peniaga telefon bimbit.

Menurut laporan Bernama , lima rakan mereka turut didakwa atas kesalahan menyuntik dadah ke tubuh sendiri di tempat dan tarikh yang sama.

Ismail Daud, 45, seorang pegawai perhubungan awam, Salehuddin Zaharuddin, 31, pemuzik, dan penggangur Nur Elya Syasrina Idrus, 26, mengaku bersalah atas tuduhan sama. Manakala dua lagi Nur Baizura Che Man, 23, seorang penganggur dan Ekarina Abbas, 24, penuntut sebuah institusi pengajian tinggi bagaimanapun mengaku tidak bersalah.

Majistret Mohamad Kamil Nizam membenarkan setiap seorang diikat jamin sebanyak RM1,800 dengan seorang penjamin dan menetapkan 16 Jun untuk menjatuhkan hukuman dan sebutan semula.

Denda maksima

Selain itu, Samzy turut didakwa atas tuduhan mengawal 10 peket plastik berisi 22.5 gram methamphetamine, mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(1) akta yang sama (Pindaan 2003) yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan sebat maksimum sembilan kali.

Ismail turut mengaku tidak bersalah atas dua lagi kesalahan iaitu mengawal dua peket plastik kecil berisi satu gram ketamine dan mengawal methamphetamine seberat satu gram.

Bagi dua kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya dan dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta yang sama, yang membawa hukuman denda maksmimun RM20,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Salehuddin mengaku tidak bersalah atas tuduhan mengawal kanabis dalam bentuk dedaun kering, seberat kira-kira 15 gram, yang dijumpai dalam satu lipatan keratan akhbar.

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 (Pindaan 2003), yang membawa hukuman denda RM20,000 atau dipenjara lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Dia juga mengaku tidak bersalah atas satu lagi tuduhan iaitu mengawal satu tiub dan satu paket plastik yang mengandungi satu gram methamphetamine yang dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta yang sama.

Kesemua tuduhan ke atas Samzy, Ismail dan Salehuddin itu dilakukan di tempat dan waktu yang sama dengan kesalahan pertama.

Mohamad Kamil membenarkan ketiga-tiga mereka diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin bagi setiap seorang dan menetapkan 16 Jun untuk sebutan.