Kesan pertemuan Anwar, Dr M masih samar
Tidak dapat dipastikan sama ada pertemuan dua seteru politik di mahkamah baru-baru ini akan membawa kesan yang ketara, kata Rafizi Ramli.
Menurut setiausaha agung PKR itu sebelum ini pun ada beberapa siri peristiwa mengejut berlaku namun bagaimana ia memberi kesan kepada masyarakat dan perkembangan politik agak rencam.
"Saya pernah melalui pengalaman itu di (pilihan raya kecil) Sungai Besar dan Kuala Kangsar," katanya kepada media selepas menghadiri majlis dialog bersama veteran tentera di Kuala Lumpur malam tadi.
Sebelum itu Rafizi diminta pandangannya mengenai pertemuan 'mengejut' antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim di mahkamah tinggi pada Selasa lalu.
Anwar pernah dilihat begitu akrab dengan Dr Mahathir dalam kerajaan dan parti dan dilihat bakal dilantik menjadi perdana menteri selepas ahli politik dari Kedah itu meletak jawatan.
Bagaimanapun pada 1998 Anwar disingkirkan daripada Umno dan kerajaan atas dakwaan salah laku seks dan rasuah.
Perkembangan itu mencetuskan gerakan reformasi dan kedua-dua mereka menjadi seteru yang seolah-olah tidak dapat didamaikan.
Enggan buat spekulasi
Bagaimanapun selepas 18 tahun Anwar dan Dr Mahathir bersemuka serta bersalaman di mahkamah pada 5 September dan mencetuskan pelbagai spekulasi.
Dr Mahathir kini menjadi antara tokoh penting di belakang Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang ditubuhkan oleh bekas ahli serta pemimpin Umno yang tidak berpuas hati dengan Datuk Seri Najib Razak.
Sebelum ini Dr Mahathir turut berkempen untuk calon Pakatan Harapan di PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar namun ia gagal mengalahkan calon BN di kedua-dua kerusi berkenaan atau menambah jumlah sokongan ketara untuk pembangkang
Rafizi yang juga naib presiden PKR berkata beliau adalah orang yang suka melihat sesuatu berdasarkan kepada bukti kukuh.
"Saya sebenarnya tidak tahu dan tidak mahu membuat spekulasi bagaimana kesan pertemuan itu.
"Saya juga nampaknya sama seperti orang lain dan tertanya-tanya untuk melihat sama ada ia akan membawa kesan yang baik," katanya.
Menurut Rafizi dia menjauhi spekulasi atau memberi komen mengenai pertemuan itu kerana bimbang ia akan mengalihkan perhatian ramai kepada "isu sebenar" dihadapi rakyat seperti nasib bekas tentera.
"Pada akhirnya setiap individu yang akan menentukan nasib negara ini dan bukan apa yang difikirkan oleh golongan elit, ahli politik, parti dan pihak yang terlibat.
"Penderitaan dan kesusahan rakyat bawahan memang berlaku. Suatu ketika nanti rakyat akan berasa benar-benar terpisah daripada elit ini.
"Kita memperjudikan segala-galanya hanya untuk permainan kuasa antara kelompok elit.
"Justeru apa saja yang kita buat, apa saja isyaratnya, kita perlu kembali kepada masalah sebenar," katanya.

