Satu kesalahan jika perkecil lembaga disiplin Umno, kata Kudin
Lembaga Disiplin Umno sedang mengkaji tindakan yang sesuai terhadap mereka yang mempertikai keputusan Umno secara terbuka dan membuat kenyataan umum memperkecilkan-kecil lembaga tersebut.
Lembaga Disiplin Umno sedang mengkaji tindakan yang sesuai terhadap mereka yang mempertikai keputusan Umno secara terbuka dan membuat kenyataan umum memperkecilkan-kecil lembaga tersebut.
Pengerusinya Tengku Ahmad Rithauddeen berkata membuat kenyataan secara umum memperkecilkan Lembaga Disiplin merupakan satu kesalahan dan terdapat peruntukan dalam perlembagaan parti mengenai tindakan yang boleh diambil bersabit perkara berkenaan.
Bercakap dalam satu sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat lembaga di Kuala Lumpur hari ini, beliau berkata, pasukan siasatan lembaga itu akan mengkaji tindakan yang sesuai untuk kesalahan tersebut.
Menurut laporan Bernama , beliau berkata, ahli-ahli yang tidak berpuas hati dengan keputusan lembaga itu, boleh menulis surat atau membincangkannya dengan Jawatankuasa Perlembagaan Umno yang dipengerusikan oleh Naib Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau menegaskan demikian ketika diminta mengulas mengenai bantahan secara terbuka oleh segelintir anggota Umno mengenai keputusan lembaga itu baru-baru ini tanpa melalui saluran rayuan yang disediakan.
Elak kes berpanjangan
Ini khasnya berhubung keputusan lembaga disiplin yang mendapati Ketua Umno Bahagian Lembah Pantai Datuk Shahrir Abdul Jalil dan Ketua Umno Bahagian Kota Baharu Datuk Zaid Ibrahim bersalah melanggar tataetika parti bersabit dengan politik wang semasa pemilihan peringkat cawangan dan bahagian pada tahun lalu. Shahrir digantung keahlian selama sepenggal manakala Zaid pula diberi amaran.
Tengku Rithauddeen berkata mulai Isnin lalu, Lembaga Disiplin membuat keputusan untuk tidak menerima lagi aduan bersabit salahlaku semasa pemilihan cawangan dan bahagian pada tahun lalu, bagi mengelakkan kesnya berpanjangan.
Katanya, sehingga 7 April lalu, Lembaga Disiplin menerima 402 aduan salahlaku semasa mesyuarat pemilihan cawangan dan bahagian pada tahun lalu, dan daripada jumlah itu 170 aduan tidak diteruskan kerana tidak mempunyai asas dan 99 aduan dibuang kerana tertuduh didapati tidak bersalah.
"Ini bermakna banyak kes telah dibuang kerana keterangan yang diberi tidak mencukupi dan kes didapati tidak begitu jelas dan diberikan `faedah kesangsian' kepada yang dituduh," katanya.
Mengenai tuduhan bahawa Lembaga Disiplin pilih kasih dalam menjalankan tugasnya, Tengku Ahmad Rithauddeen menafikan dakwaan itu dan menyifatkannya sebagai satu yang tidak betul.
Beliau sebaliknya berkata sebagai pengerusi lembaga itu beliau sangat berpuas hati atas perjalanan kes-kes yang dibicarakan dengan telus dan tanpa mengamalkan pilih kasih oleh anggota lembaga.
"Kita melihat kes yang berlaku dan tidak sewenang-wenangnya mahu mencari kesalahan atau membuang kes. Jadi saya menafikan tuduhan yang dibuat oleh mereka," katanya.

