Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) menyambut baik cadangan kerajaan supaya pemaju perumahan diberi
lesen sebagai pemberi pinjaman wang bagi membantu usaha pemilikan aset itu.

Presidennya, Datuk Seri Fateh Iskandar Mohamed Mansor berkata cadangan itu harus dilihat dari sudut positif bagi membantu pemaju yang membangkitkan kesukaran bakal pembeli mendapatkan kemudahan pinjaman berkenaan.

"Bagaimanapun, tidak semua pemaju mampu menawarkan kemudahan itu. Saya rasa, hanya pemaju pertengahan sehingga utama yang boleh berbuat demikian.

"Sudah pasti, kami akan menelitinya dan akan membincangkan perkara itu dengan ahli Rehda yang lain.

"Kami mahukan mendapatkan sedikit sebanyak mekanisme berkaitan kerana tidak mahu skim ini mencetuskan spekulasi," katanya yang juga Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Glomac Bhd.

Beliau berkata demikian kepada wartawan di luar Sidang Kemuncak Perumahan dan Hartanah Kebangsaan 2016 di Petaling Jaya, hari ini.

Program dua hari anjuran Institut Kepimpinan dan Strategi Asia (ASLI) yang akan berakhir esok merupakan acara tahunan yang menghimpunkan kalangan pihak berkepentingan dalam sektor perumahan dan hartanah.

Terdahulu, dalam ucap tamanya, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar berkata kementerian sedang menimbang cadangan bagi membolehkan pemaju diberi lesen sebagai pemberi pinjaman wang untuk membantu bakal pembeli menangani masalah mengemukakan bayaran wang
pendahuluan.

Sementara itu, Penaung dan bekas Presiden Rehda, Datuk Jeffrey Ng berkata dalam usaha membantu bakal pembeli yang berdepan kesukaran mendapatkan pinjaman bank, segelintir pemaju sudah mengenakan dua hingga tiga mata peratusan lebih tinggi berbanding yang ditawarkan pihak bank.

"Jika tawaran pihak bank kira-kira 4.5 peratus, mereka (segelintir pemaju)
pula menimbang untuk menawarkannya pada 6.5 peratus hingga 7.0 peratus. Malah, saya sendiri terkejut dengan tindakan mereka itu," katanya yang juga CEO Sunway REIT Management Sdn Bhd.

-Bernama