Khazanah Nasional Berhad yang menerajui projek Taman Tugu menjelaskan pecahan umum kos RM650 juta yang dianggarkan bagi projek itu.

Kos itu meliputi empat komponen projek iaitu 1) memelihara dan mengaktifkan taman 2) menghubungkan kawasan-kawasan sekitarnya 3) pusat pembelajaran dan inovasi, dan 4) operasi, penyelenggaraan, perkongsian dan pembangunan masyarakat di taman ini sehingga 12 tahun.

Kira-kira 15 peratus daripada kos adalah untuk komponen keempat, manakala kos selebihnya akan berpecah kira-kira satu pertiga untuk tiga komponen lain, kata Pengarah Urusan Khazanah, Tan Sri Azman Mokhtar.

"Kos pokok sahaja adalah kurang daripada lima peratus," katanya, merujuk kepada anggaran kos bagi pemuliharaan daripada 1,000 pokok yang sedia ada di kawasan itu serta pemindahan 5,000 pokok lain.

Beliau berkata demikian semasa sesi pertemuan mengenai projek Taman Tugu di Kuala Lumpur hari ini, yang bertujuan menjadikan kawasan 66 ekar sekitar Tugu Negara sebuah taman hutan di dalam bandar.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan butir-butir tertentu mengenai pecahan kos projek.

"Kos pecahan kami telah kami berikan beberapa maklumat hari ini.

"Saya rasa (spesifik) butir-butir, saya meminta kami diberi kelonggaran kerana apabila anda melakukan kontrak ... jumlah itu kita tidak boleh dedahkan terlalu banyak secara terperinci," katanya.

Azman memberi jaminan bahawa projek ini tidak akan mengurangkan komitmen Khazanah untuk tanggungjawab sosial korporat mereka yang lain.

[Baca berita penuh]