MCM: Faedah perumahan 12 hingga 18% terlalu tinggi
Gerakan Pengguna Malaysia (MCM) membantah pengenaan kadar faedah yang terlalu tinggi iaitu antara 12 hingga 18 peratus setahun di bawah cadangan oleh kerajaan untuk memberi lesen pemberi pinjaman wang kepada pemaju perumahan.
Presiden MCM, Darshan Singh Dhillon berkata, rakyat di negara ini telahpun mempunyai akses kepada pemberi pinjaman wang berlesen jika timbul keperluan untuk berbuat demikian.
"Jadi mengapa perlunya untuk mewujudkan satu lagi segmen baru peminjam seperti ini?," kata beliau dalam kenyataan, hari ini.
Jika benar kerajaan mahu melaksanakan cadangan tersebut, jenis pembiayaan perumahan itu harus dilayan secara berasingan daripada urusniaga pinjaman tradisional dengan kadar faedah harus jauh lebih rendah.
"Hanya dengan itu, ia akan memberi manfaat kepada pengguna," katanya lagi.
Semalam, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar berkata, kerajaan mempertimbangkan cadangan itu untuk membantu pembeli rumah yang menghadapi kesukaran mendapat pinjaman bank dan menangani masalah bayaran pendahuluan.
"Justeru itu saya mencadangkan supaya pemaju perumahan berkelayakan terutama syarikat mempunyai sumber kewangan yang banyak seperti Sunway Group, EcoWorld, Mah Sing dan Glomac diberi lesen pemberi pinjam wang.
"Ia akan hanya terhad kepada penyediaan pembiayaan akhir untuk pembeli rumah berkelayakan, yang mengalami kesukaran memperoleh pinjaman dari bank," tambah Noh lagi.
Dalam reaksi berhubung cadangan itu, Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli menyifatkannya sebagai keputusan paling gila mengenai perumahan dan kewangan negara.
Kata Rafizi, melesenkan 'along' dan meluaskan riba dengan kadar faedah 12 hingga 18 peratus adalah satu bentuk penghambaan kewangan.
Mengulas lanjut, Darshan Singh berkata, walaupun pihaknya menyokong cadangan itu pada dasarnya kerana membantu lebih ramai memiliki rumah namun MCM tidak pasti jika pelbagai pihak berkepentingan telah mengadakan rundingan mengenai sebelum ia diumumkan oleh Noh.
Justeru, MCM ingin meminta kerajaan menangguhkan pelaksanaan cadangan pemberian lesen pemberi pinjaman wang kepada pemaju perumahan sementara memberi peluang kepada banyak pihak untuk meneliti butiran mengenainya, jelas beliau.
Pada masa yang sama, MCM juga mahu bayaran deposit 10 peratus dikekalkan dan pinjaman seumpama itu dihadkan kepada hartanah yang siap sepenuhnya di samping memberikan kuasa kepada Tribunal Perumahan untuk melindungi pembeli.
"Para pemaju juga tidak boleh dibenarkan untuk melantik pemungut hutang bagi mendapatkan semula pinjaman dalam kes tertunggak," tambahnya.

