Buku teks kontroversi masih diajar di UiTM
Buku Asas-asas Islam II yang didakwa telah diharamkan oleh Universiti Teknologi Mara (UiTM) sejak 1999 masih dijual di universiti itu dan digunakan sebagai buku teks pelajar.
Buku ini digunakan oleh semua pelajar peringkat diploma pada semester kedua sebagai bahan rujukan mata pelajaran Pendidikan Islam. Mata pelajaran ini diwajibkan kepada semua pelajar beragama Islam.
Seorang pensyarah pendidikan Islam memberitahu malaysiakini hari ini, buku itu tidak pernah diharamkan oleh universiti itu.
" Tidak pernah timbul isu buku itu diharamkan sebelum ini, dan pensyarah masih menggunakannya hingga kini," katanya, yang tidak mahu dikenali.
"(Tuduhan itu) semuanya tidak betul," katanya apabila ditanya sama ada kandungannya mengajak pembaca melakukan revolusi atau mendakwa dasar kerajaan tidak mengikut kehendak Islam seperti dilaporkan akhbar.
Semalam, Ketua Umno Bahagian Parit Buntar Datuk Abdul Raman Suliman dilaporkan menggesa Kementerian Pendidikan dan UiTM menarik balik penggunaan buku itu kerana ia "mengandungi banyak fakta yang bertentangan dengan dasar-dasar kerajaan."
Dipengaruhi politik semasa
"Buku ini mesti ditarik balik penggunaannya sehinggalah pembetulan dibuat ke atas tulisan tertentu yang amat bercanggah dengan dasar-dasar kerajaan," katanya kepada Utusan Malaysia .
Bagaimanapun menurut pensyarah itu lagi, setakat ini UiTM tidak mengharamkan Asas-asas Islam II tetapi buku Pemikiran Islam Semasa dan Pentadbiran Islam bagi kuliah pelajar semester tiga dilarang.
Naib Canselor UiTM Prof Datuk Dr Ibrahim Abu Shah hari ini dilaporkan terkejut apabila mengetahui Asas-asas Islam II masih digunakan di kampus itu kerana menurutnya ia telah diharamkan ketika beliau menjawat Timbalan Naib Canselor (Akademik) sehingga tahun lalu.
Seorang pegawai pentadbiran UiTM memberitahu malaysiakini , kandungan buku itu yang diterbitkan sejak 1996 tidak bertentangan dengan dasar kerajaan.
Katanya lagi, perkara itu mungkin timbul sekarang kerana dipengaruhi suasana politik semasa.
Beliau, yang juga tidak mahu dikenali, mengesahkan buku itu masih digunakan sehinggalah timbul kontroversi ini.
Seorang pelajar semester tiga turut mengaku bahawa beliau pernah menggunakan buku itu awal tahun ini.
Buku setebal 120 muka surat itu dikarang oleh lima pensyarah universiti itu mengikut sukatan pelajaran Unit Pendidikan Asas bagi kegunaan pelajar UiTM dan kolej-kolej francais universiti itu di seluruh negara.
Buku itu yang diterbitkan oleh Pusat Pendidikan Islam UiTM disediakan oleh Che Kamarudin Md Daud, Nik Aminah Nik Idris, Rukiah Muhamad, Siti Fatimah Sudin dan Sulaiman Wahid. Ia disunting oleh Dr Mujaini Tarimin.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.