Sokongan bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim penting bagi parti baru Tun Dr Mahathir Mohamad, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), kata bekas menteri besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

"Penting untuk mendapatkan sokongan Anwar, khususnya untuk mendapatkan komitmen daripada PKR sendiri (supaya bekerjasama dengan BERSATU)," kata Mukhriz kepada pemberita di Puchong malam semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya langkah seterusnya bapanya, bekas perdana menteri, Mahathir dan bekas timbalan perdana menteri, Anwar, susulan perjumpaan mereka di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Isnin lalu.

Mahathir hadir di mahkamah untuk menyokong permohonan Anwar bagi mencabar Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016.

Kedua-dua mereka dirakamkan bersalaman dan kemudiannya berbincang dalam pertemuan pertama mereka sejak Mahathir memecat Anwar sebagai timbalannya pada tahun 1998.

Mukhriz berkata buat masa ini, kerjasama mereka khususnya dalam menentang Akta MKN yang menjadi kontroversi.

"Kami harap kerjasama itu akan berterusan di peringkat parti," katanya.

Mukhriz berkata demikian selepas menghadiri ceramah yang dianjurkan oleh kumpulan pemberontak Umno, Gerakan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM) untuk memperkenalkan BERSATU.

Ketika memulakan ceramah, GKCM menimbulkan peristiwa bersejarah Dr Mahathir yang bersalaman dengan Anwar dan berharap hubungan kedua-dua pemimpin itu akan dihidupkan semula.

GKCM turut memainkan video lama ketika Mahathir dan Anwar bergandingan mentadbir negara.

Mukhriz semalam juga ditanya mengenai persiapan BERSATU sekiranya pilihan raya umum tergempar diadakan.

Katanya, parti serpihan Umno itu akan mengenal pasti calon berpotensi dan mengadakan rundingan kerusi dengan pembangkang untuk memastikan pertandingan satu lawan satu dengan BN.

"Kami belum bermula (rundingan) lagi, tetapi pada dasarnya pembangkang memahaminya

"Mereka bersedia untuk berbincang," katanya.

[Baca berita penuh]