Presiden parti komponen BN, Parti Makkal Sakti mendakwa bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mungkin telah hilang akal dalam usaha membuat kemunculan semula dalam politik melalui Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang baru didaftarkan.

Datuk RS Thanenthiran berkata demikian dalam ucapan dasar presiden pada perhimpunan agung tahunan kelapan parti itu.

"Saya percaya Mahathir sudah hilang akal.

"Dia mahu kembali selepas pemerintahan kuku besi 22 tahun," kata Thanenthiran kepad 2,012 perwakilan yang hadir di Dewan Tun Abdul Razak Menara Kembar Bank Rakyat di Kuala Lumpur.

"Saya yakin rakyat Malaysia tidak bodoh... Selepas 22 tahun menjadi perdana menteri, beliau sekarang tidak berpuas hati dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang adalah pemimpin yang lebih demokratik," dakwanya.

Thanenthiran juga mengingatkan Mahathir, yang kini adalah pengerusi BERSATU, semasa pentadbirannya, rakyat dinafikan hak mereka untuk bersuara.

"Saya percaya bahawa pada masa Tun, ramai yang dihantar ke penjara kerana bersuara untuk apa (mereka percaya) yang betul," katanya.

Oleh itu, beliau menggesa Mahathir supaya berundur dan membenarkan Najib untuk terus memimpin negara ini dengan cara yang lebih demokratik, ke arah mencapai Wawasan 2020 iaitu menjadi sebuah negara maju seperti yang diilhamkan oleh bekas perdana menteri itu.

Dalam ucapannya, Thanenthiran menggariskan lapan usul yang kemudiannya akan dibahaskan oleh para perwakilan.

Antara lain, beliau berkata parti itu mahu lebih perwakilan di pelbagai peringkat, termasuk di syarikat berkaitan kerajaan.

"Mengapa tidak? Berikan peluang kepada kami ... Dalam Petronas, TNB (Tenaga Nasional Berhad), Khazanah.

"Kami jamin bahawa kami boleh memimpin... mereka di sini boleh beri jaminan bahawa BN akan menang," kata Thanenthiran.

Dalam tempoh lapan tahun sejak pembentukan parti, Thanenthiran berkata mereka kini mempunyai 123,000 ahli, sebahagian besarnya terdiri daripada pengundi muda India.

Ini, katanya, adalah selaras dengan motto parti itu untuk menjadi sebuah harapan baru kepada kaum India dan semua rakyat Malaysia.

Mesyuarat hari ini dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang dalam ucapannya sendiri mencabar Thanenthiran untuk membuktikan kata-katanya dan mengumpul nama 7,000 ahli untuk didaftarkan sebagai pengundi baru dalam masa 60 hari.

Sebagai balasannya, Zahid berjanji akan memenuhi permintaan Makkal Sakti untuk mendapatkan sebuah bas bagi mengangkut ahli-ahlinya.

[Baca berita penuh]