Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
‘Pembangkang, Dr M sedia bersama jika MCA keluar BN’
Diterbitkan:  Sep 11, 2016 4:47 PM
Dikemaskini: 8:51 AM

Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng berkata, pembangkang dan juga parti serpihan Umno, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sedia menimbang kerjasama dengan MCA jika parti Cina itu meninggalkan BN.

Ini susulan tindakan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang membidas MCA dan mencabarnya meninggalkan BN.

“Mungkin jika MCA bertindak sebagai sebuah parti bebas, parti-parti pembangkang dan mungkin juga parti baru Tun Dr Mahathir Mohamad akan berminat untuk bekerjasama dengan mereka untuk menewaskan UMNO dalam pilihanraya umum akan datang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lim berkata MCA harus menerima cadangan Nazri dan meninggalkan BN serta juga melepaskan semua jawatan kerajaan termasuk sebagai menteri, exco kerajaan negeri, ahli majlis kerajaan tempatan dan jawatan lain.

“Mereka yang enggan berbuat demikian wajar dilihat sebagai pengkhianat terhadap perjuangan MCA dan hanya mementingkan poket dan tembolok sendiri,” katanya.

Lim berkata, bidasan Nazri ke atas MCA mengesahkan persepsi bahawa MCA adalah budak suruhan Umno.

“MCA akan mendiamkan diri ketika Umno mengeluarkan arahan, kerana inilah caranya BN beroperasi. MCA akan ditendang keluar sekiranya ia tidak lagi berperanan sebagai ‘khadam’ kepada Umno.

“MCA adalah parti yang kecil dan langsung tidak penting di mata Umno. Ia juga tidak relevan di mata pengundi Cina dan MCA hanya menang dalam pilihan raya kerana ia diselamatkan oleh Umno dengan membenarkannya bertanding di beberapa kerusi majoriti Melayu.

“Justeru, MCA bukanlah berada di kedudukan untuk membuat sebarang permintaan terhadap Umno. Pimpinan MCA hanya boleh bertanya ‘berapa tinggi?’ apabila diarah Umno supaya melompat,” katanya.

Semalam, Nazri berkata adalah lebih baik bagi Umno menjadi jaguh kampung yang memiliki 88 kerusi parlimen berbanding MCA, yang hanya mempunyai tujuh kerusi.

Beliau mengulas gesaan Ti supaya Umno mengubah strategi dan mengutamakan survival BN dan bukan hanya parti itu sendiri.

Ti berhujah retorik Umno itu membantu parti Melayu berkenaan memenangi undi di kawasan luar bandar tetapi taktik seumpamanya menghakis sokongan pengundi bandar di kawasan majoriti Melayu dan mengorbankan rakan-rakan gabungan BN.

Nazri bertindak dengan menjawap mendakwa “Umno bongkak pun kita menang” pilihan raya dan mencabar MCA untuk keluar daripada BN.

 

Lihat Komen
ADS