Terjemahan Apakah terlalu idealistik untuk melaksanakan pemisahan kuasa di antara penggubal perundangan, badan eksekutif dan badan kehakiman, di Malaysia? Nampaknya, ahli politik veteran, Datuk Shahrir Samad berpendapat sedemikian.

"Tiada kebebasan Parlimen yang mutlak," kata beliau yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan(BBC) dalam satu wawancara dengan malaysiakini baru-baru ini.

Shahrir mengakui bahawa urusan kerajaan diberi keutamaan di persidangan Dewan Rakyat, tetapi menjelaskan sudah menjadi perkara biasa di mana-mana juga untuk Speaker dewan mendapatkan 'pandangan' pihak kerajaan (dalam perkara-perkara yang dibangkitkan).

Ahli Parlimen, terutama daripada pihak pembangkang, sering mengadu bahawa usul-usul mereka sering ditolak ketika hendak dibentangkan di Dewan Rakyat.

Tahun lalu, Speaker dewan ketika itu, Tan Sri Dr Mohamed Zahir Ismail menjadi sasaran kritikan apabila beliau mendapatkan pandangan Pejabat Peguam Negara sebelum menolak usul pihak pembangkang untuk mencabar kredibiliti pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) berhubung banyak kecacatan yang berlaku sewaktu diadakan pilihanraya umum yang lalu.

Baru-baru ini, Shahrir sendiri mengkritik keras para menteri, timbalan menteri dan setiausaha parlimen kerana gagal memberi jawapan yang memuaskan kepada soalan-soalan yang dikemukakan di Dewan Rakyat.

Antara yang menjadi sasaran kritikan beliau adalah menteri yang didakwanya memungkiri janjinya, mereka yang jarang menghadiri sidang Parlimen serta jawapan yang tidak memuaskan dari pihak menteri ketika sesi soal-jawab.

Bagaimanapun, kehadiran di kalangan ahli Parlimen sendiri juga kurang memuaskan tetapi Shahrir mempunyai pandangan yang berbeza mengenai kuorum di Dewan Rakyat.

"Pada saya, kuorum (yang mencukupi) hanya perlu ketika hendak memulakan persidangan kerana jika kita terlalu menekankan kepada soal kuorum (di sepanjang persidangan), ia boleh mengganggu tugas sebenar mereka sebagai ahli Parlimen," katanya.

Kaji semula struktur Parlimen

Shahrir yang tidak bersetuju dengan anggapan yang meletakkan kedudukan ahli Parlimen sama dengan kakitangan kerajaan yang lain, berkata, struktur Parlimen perlu dikaji semula.

Menurutnya, sebuah jawatankuasa sudah ditubuhkan untuk mengkaji semua prosedur 'lama' di Parlimen.

Dalam wawancara selama 40 minit itu, Shahrir turut menyentuh mengenai peranan media yang menurutnya terlalu memberi keutamaan melaporkan jawapan pihak menteri, tetapi jarang melaporkan pandangan yang dikemukakan oleh ahli-ahli Parlimen.

"Ini tidak betul, dalam keadaan sedemikian, pihak media seperti merendah demokrasi itu sendiri kerana Parlimen merupakan bahagian penting dalam sistem demokrasi dan politik," katanya.

Mengenai politik wang yang hebat diperkatakan sewaktu pemilihan Umno tahun lalu, Ahli Parlimen Johor Bahru itu berkata, beliau tidak bersimpati dengan mereka yang didapati bersalah melakukan perbuatan tersebut.

"Peraturannya jelas, anda lihatlah pada peraturan tersebut, sama ada anda suka atau tidak, bagi saya, itulah politik," katanya.

Shahrir turut ditanya pandangannya mengenai menantu Perdana Menteri, Khairy Jamaluddin, yang kini dilihat sebagai 'bintang yang sedang bersinar' dalam politik Umno, yang menang tanpa bertanding jawatan Naib Ketua Pemuda Umno Malaysia dalam pemilihan parti itu tahun lalu.

Khairy, 29, menjadi sasaran kritikan pihak-pihak tertentu yang menganggapnya terlalu muda dan masih mentah dalam politik politik untuk memegang jawatan tersebut. Ada juga pihak yang mendakwa, Khairy menang tanpa bertanding bagi jawatan itu kerana kaitannya dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

"Saya pernah mendengar (kritikan yang sama) sebelum ini, (tetapi) hati kecil saya adalah jelas dan saya tidak menyalahgunakan jawatan saya. Jadi (wartawan) perlu bertanya kepada beliau (Khairy) sendiri sama ada hati kecilnya juga jelas (dalam hal tersebut)," kata Shahrir, sambil menegaskan bahawa beliau pernah melalui situasi yang sama kerana membabitkan diri dalam politik sewaktu umurnya masih muda.

Shahrir, kini berusia 56 tahun, menjadi Ahli Parlimen Johor Bahru pada 1978 ketika berumur 28 tahun, dan menjadi Menteri Wilayah Persekutuan pada tahun 1983. Beliau menjadi setiausaha politik kepada Tun Abdul Razak ketika berusia 25 tahun.

Ketika Umno dilanda krisis kepimpinan pada tahun 1987, Shahrir berpihak kepada kumpulan Tengku Razaleigh Hamzah yang tewas hanya 47 undi, kepada Dr Mahathir Mohamad dalam pertandingan bagi jawatan presiden Umno pada tahun berkenaan.

Berikutan itu, Shahrir telah meletakkan jawatan sebagai ahli Parlimen Johor Bahru, dan bertanding kerusi tersebut sebagai calon Bebas dan memenanginya dengan majoriti yang besar.

Pada tahun 1990, Shahrir mengetui Umno bahagian Johor Baru. Bagaimanapun, keahliannya digantung selama tiga tahun (1995-1998) berikutan dakwaan beliau menyokong calon pembangkang sewaktu pilihanraya umum 1995.

Pada tahun 2000, beliau memenangi kerusi Majlis Tertinggi Umno walaupun tidak memegang sebarang jawatan kabinet ketika itu dan sejak itu beliau kembali semula aktif dalam politik. Beliau kini merupakan ahli MT yang dilantik selepas pemilihan Umno tahun lalu.

Keluarga Shahrir juga dianggap unik. Walaupun beliau seorang pemimpin penting Umno, tetapi adiknya, Khalid Samad, adalah ketua PAS kawasan Shah Alam.

Menurut Shahrir, walaupun wujud perbezaan ideologi politik, tetapi ia tidak menimbulkan sebarang masalah untuk mereka berkumpul bersama sebagai sebuah keluarga.