Kerajaan Pulau Pinang akan mengambil tindakan tegas terhadap pemaju yang merancang untuk menjadi peminjam wang dengan menyediakan pinjaman pada kadar 18 peratus kepada pembeli rumah.

Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata pentadbiran beliau akan mengharamkan pemaju hartanah tersebut dan tidak akan membenarkan BN menjadikan negeri ini kepada "masyarakat ah long".

Beliau mengarahkan kedua-dua pihak berkuasa tempatan - Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan Majlis Perbandaran Seberang Perai - menolak mana-mana projek pembangunan oleh pemaju hartanah itu.

Lim berkata Pulau Pinang membantah keras cadangan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Noh Omar untuk mengeluarkan lesen pinjaman wang kepada pemaju hartanah.

Noh dikritik kerana cadangan itu tetapi mempertahankannya dengan berkata beliau mahu memberi pilihan kepada pembeli rumah yang tidak boleh mendapatkan pinjaman bank untuk meminjam daripada pemaju perumahan.

"Cadangan ini adalah untuk memberi pembeli rumah pilihan, jika mereka tidak boleh mendapatkan pinjaman daripada bank, mereka boleh berbuat demikian dari pemaju," katanya.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga menolak cadangan itu dengan mengatakan ia tidak pernah dibincangkan dalam kabinet dan Noh akan diminta memberi penjelasan bagi cadangan beliau.

[Baca berita penuh]