Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah meminta laporan lengkap daripada kerajaan Perak berhubung laporan akhbar yang mendakwa berlaku pembalakan haram di Hutan Simpan Temenggor dekat Gerik.

Menteri Besar Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali berkata Abdullah telah menghubungi beliau pada jam 5.15 petang semalam sebelum Perdana Menteri berlepas ke Jakarta untuk menghadiri Sidang Kemuncak Asia-Afrika.

"Dia tanya apa yang berlaku, dia ambil berat. Saya maklumkan gambar yang disiarkan dalam The Star itu merupakan tanah yang diterokai oleh Orang Asli," kata Tajol Rosli kepada pemberita selepas menemui pegawai-pegawai kanan Jabatan Perhutanan Perak di pejabatnya di sini hari ini.

Menurut laporan Bernama , Tajol Rosli berkata, beliau telah memaklumkan kepada Perdana Menteri bahawa laporan lengkap mengenai isu itu akan dihantar kepada beliau.

"Malah hari ini kita sudahpun faks laporan awal yang saya terima daripada Jabatan Perhutanan kepada Pejabat Perdana Menteri. Ia akan berada di atas mejanya sebelum beliau balik dari Jakarta," katanya.

Tajol Rosli juga berkata Timbalan Pengarah Jabatan Perhutanan Perak Mohd Nasir Abu Hassan telah diarah menghantar laporan terus kepada Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab selepas menyiasat kawasan yang dilaporkan berlaku pembalakan haram itu Isnin ini.

"Kita juga jemput pihak media untuk turut serta bersama timbalan pengarah melawat kawasan itu. Kerajaan negeri telus dalam hal ini," katanya.

Bahayakan bot Orang Asli

Menurut laporan akhbar itu, kawasan Hutan Simpan Temenggor terjejas teruk akibat pembalakan haram di sekeliling kawasan Tasik Temenggor, yang didakwanya dilakukan oleh syarikat yang dipilih Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk membuat pembalakan dalam air.

Semalam, Tajol Rosli berkata, tidak ada pembalakan haram di situ tetapi yang berlaku ialah penebangan pokok yang dibenarkan di kawasan simpanan TNB di Tasik Temenggor.

"Ada pokok-pokok yang tumbang dalam air, jadi Jabatan Perhutanan benarkan kontraktor TNB yang terlibat dalam pembalakan dalam air menebang pokok yang telah ditanda di kawasan simpanan TNB sekeliling tasik," katanya.

Menurut Bernama lagi, dalam sidang media hari ini, beliau berkata, jika siasatan Jabatan Perhutanan mendapati ada pokok yang tidak ditanda telah ditebang, lesen pembalakan dalam air akan dihentikan serta merta "walaupun melibatkan hanya satu batang pokok sahaja".

Katanya lesen membalak dalam air yang diberikan kepada dua syarikat yang dipilih oleh TNB untuk melakukan pembalakan dalam air tidak diperbaharui apabila tamat pada 15 April lepas dan satu lagi 31 Mei ini.

"Pembalakan dalam air ini telah dilakukan sejak tahun 80-an. Tapi kita akan hentikan buat sementara kerana kayu-kayu yang terapung membahayakan bot-bot Orang Asli. Kita akan kaji dulu sebelum benarkan ia beroperasi semula," katanya.

Tajol Rosli berkata Jabatan Perhutanan juga akan meminta masyarakat Orang Asli di situ tidak melakukan penebangan pokok hutan sewenang-wenangnya.

Beliau berkata pembalakan tidak dibenarkan di Hutan Royal Belum tetapi dibenarkan di kawasan lain di Hulu Perak kerana ia merupakan sumber ekonomi utama di daerah itu.

"Tapi kita telah ketatkan syarat-syarat pembalakan. Kalau dulu sebarang pokok yang melebihi 17 inci lilitan boleh ditebang, kini hanya maksimum 13 tan satu hektar dibenarkan," katanya.