Tidak ada keperluan untuk menuntut peletakan jawatan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Apandi Ali hanya kerana beliau menari dengan menteri, kata bekas Peguam Negara, Tan Sri Abu Talib Othman.

"Sudah tentu, jika hanya menari, ia bukan alasan baik untuk memintanya berundur, bukankah begitu?

"(Namun) jika terbukti bahawa dia tidak cekap atau mempunyai isu integriti, maka sudah tentu itu alasan yang baik. Tetapi hanya menari, saya tidak fikir itu alasan untuk memintanya meletakkan jawatan," kata Abu Talib kepada Malaysiakini semalam.

Pada 2 September lalu, peguam Haniff Khatri memuat-naik video yang memaparkan Apandi sedang menari dengan beberapa menteri kabinet.

Haniff yang juga adalah peguam bagi Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata tindakan itu tidak wajar di sebalik skandal 1MDB.

Setakat ini, Apandi tidak membuat sebarag ulasan, manakala Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datu Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, antara menteri yang dipaparkan dalam video itu, berkata tiada apa yang salah dengan kelakuan Apandi itu.

Sementara itu, bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan menuntut Apandi meletakkan jawatan berhubung perkara itu.

Khairuddin menyerahkan memorandum menuntut peletakan jawatan itu di pejabat Apandi pada 5 September lalu dan memfailkan afidavit baru di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk semakan kehakiman terhadap Apandi.

Seorang lagi peguam, Wan Azmir Wan Majid, berkata peguam negara perlu dilihat sebagai berkecuali, tetapi menambah bahawa tindakan menari itu terlalu remeh untuk menuntut peletakan jawatan Apandi.

[Baca berita penuh]