Cadangan agar para pemaju diberikan lesen pinjaman bukan untuk membolehkannya menawarkan pinjaman perumahan, kata Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda)

Presiden Rehda, Datuk Seri Fateh Iskandar Mohamed Mansor berkata, pemaju yang paling kaya-raya sekalipun tidak berupaya untuk menawarkan pinjaman kepada pembeli rumah.

Sebaliknya, pinjaman tersebut adalah bertujuan merapatkan jurang antara margin pembiayaan yang ditawarkan oleh bank dengan margin yang sanggup dibayar oleh pembeli tersebut.

"Hal pinjaman ini bukan perkara baru. Ia telah lama dilaksanakan dan sesetengah pemaju menjadikannya sebagai amalan dan ia suatu penyambung, bukan 100 peratus (pinjaman).

"Isu utama yang dihadapi oleh pembeli ialah apabila mereka mendapat margin pembiayaan 75 hingga 80 peratus (daripada bank-bank) - itulah purata, kami telah periksa.

"Oleh itu, ada pihak yang perlu berikan bahawa 10 hingga 15 peratus lagi," kata beliau kepada pemberita.

Fateh Iskandar berkata demikian pada sidang akhbar di ibu pejabat Rehda di Kelana Jaya hari ini yang diadakan bagi mengumumkan hasil kaji selidik industri hartanah oleh Rehda untuk separuh pertama 2016 .

Kaji selidik dua kali setahun itu dijalankan dari bulan Januari hingga Jun 2016 dan melibatkan 157 responden yang terdiri daripada ahli-ahli Rehda dari seluruh semenanjung Malaysia.

Sebelum ini, Fateh Iskandar berkata, pihaknya menyambut baik cadangan kerajaan supaya pemaju perumahan diberi lesen sebagai pemberi pinjaman wang bagi membantu usaha pemilikan aset itu.

Ujar beliau, cadangan itu harus dilihat dari sudut positif bagi membantu pemaju yang membangkitkan kesukaran bakal pembeli mendapatkan kemudahan pinjaman berkenaan.

"Bagaimanapun, tidak semua pemaju mampu menawarkan kemudahan itu. Saya rasa, hanya pemaju pertengahan sehingga utama yang boleh berbuat demikian.

"Sudah pasti, kami akan menelitinya dan akan membincangkan perkara itu dengan ahli Rehda yang lain.

"Kami mahukan mendapatkan sedikit sebanyak mekanisme berkaitan kerana tidak mahu skim ini mencetuskan spekulasi," katanya yang juga Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Glomac Bhd.

[Baca berita asal]