NGO hak asasi, Suara Rakyat Malaysia (Suaram) memandang serius kematian arwah Azri Mohamed pada pagi ini setelah mengadu dipukul ketika ditahan di Penjara Pengkalan Chepa, Kelantan pada 10 Ogos yang lalu.

Pengarah Eksekutifnya, Sevan Doraisamy berkata, Suaram kesal apabila dimaklumkan oleh keluarga mangsa bahawa walaupun setelah dipukul sehingga ke tahap kritikal, namun masih tiada sisatan yang dilakukan oleh pihak bertanggungjawab.

"Suaram juga dimaklumkan bahawa pihak Hospital Raja Perempuan Zainab II cuba merumitkan proses untuk mendapatkan bedah siasat kepada mangsa.

"Ini merupakan suatu yang mengejutkan di mana pihak hospital yang merupakan badan kerajaan yang berwajib untuk menyiasat punca kematian, lebih-lebih lagi bagi mereka yang cedera semasa di dalam tahanan," katanya dalam kenyataan.

Menurut kenyataan itu, susulan aduan dipukul itu, mangsa telah dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II dalam keadaan tenat dan parah dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) kerana keadaannya yang kritikal.

Namun, pada hari ini, mangsa telah disahkan meninggal dunia.

Mengulas lanjut, Sevan berkata, pihaknya ingin menegaskan perbuatan menggunakan kekerasan ke atas tahanan bukan sahaja bercanggah dengan perundangan Malaysia malah tidak menepati undang-undang antarabangsa dan Peraturan Tetap Ketua Polis Negara (IGSO).

"Suaram berkeras bahawa sebarang kematian atau kecederaan yang berlaku sewaktu di dalam tahanan adalah tanggungjawab pihak penjara, polis dan hospital yang telah diberikan mandat untuk menjaga keselamatan dan kesejahteraan sesiapa dibawah jagaan mereka.

"Kami menuntut agar kebenaran mengenai kematian mangsa terus disiasat agar keadilan dapat dikembalikan dan semoga kejadian seperti ini dikendalikan secara telus dan serius kerana ia melibatkan satu nyawa yang amat berharga," jelas beliau.

Kematian dalam tahanan adalah jauh lebih kejam dari hukuman mati kerana pesalah yang dikenakan hukuman mati telah dibicarakan dan dibuktikan bersalah, ujarnya lagi.