Kabinet telah mengarahkan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Tan Sri Noh Omar untuk mengkaji kadar faedah dan tempoh pembayaran balik agar tidak membebankan rakyat.

Kajian tersebut melibatkan cadangan Noh sebelum ini untuk memberikan lesen pemberi pinjaman wang kepada pemaju perumahan dengan kadar faedah setinggi 18 peratus sehingga mendapat bantahan banyak pihak.

Selain itu, Noh berkata, kementerian beliau turut diarahkan untuk mengkaji keberkesanan polisi dalam membantu rakyat untuk membiayai pembelian rumah.

"Perkara ketiga yang kabinet arahkan KPKT lakukan ialah menyediakan garis panduan yang jelas dan mudah difahami oleh syarikat pemegang lesen pemberi pinjaman wang dan juga peminjam," jelas Noh dalam kenyataan.

Baru-baru ini, Gerakan Pengguna Malaysia (MCM) membantah pengenaan kadar faedah yang terlalu tinggi iaitu antara 12 hingga 18 peratus setahun di bawah cadangan oleh kerajaan untuk memberi lesen pemberi pinjaman wang kepada pemaju perumahan.

Presiden MCM, Darshan Singh Dhillon berkata, rakyat di negara ini telahpun mempunyai akses kepada pemberi pinjaman wang berlesen jika timbul keperluan untuk berbuat demikian.

"Jadi mengapa perlunya untuk mewujudkan satu lagi segmen baru peminjam seperti ini?," kata beliau dalam kenyataan, hari ini.

Jika benar kerajaan mahu melaksanakan cadangan tersebut, jenis pembiayaan perumahan itu harus dilayan secara berasingan daripada urusniaga pinjaman tradisional dengan kadar faedah harus jauh lebih rendah.

"Hanya dengan itu, ia akan memberi manfaat kepada pengguna," katanya lagi.

Mengulas lanjut, Noh berkata, beliau telah menjelaskan cadangan ini di dalam mesyuarat jemaah menteri sebentar tadi.

"Polisi ini telah wujud dan beberapa syarikat telah pun diberi lesen pemberi pinjaman wang untuk membiayai pinjaman ini sebagai ‘bridging’ kepada bayaran muka (deposit) pembelian rumah.

"Justeru, KPKT diminta unutk mengkaji dan menambahbaik polisi ini," jelasnya.

Pada masa yang sama, kementeriannya juga mengambil tindakan pro-aktif dan melihat secara keseluruhan keberkesanan fasiliti pembiayaan wang dibawah peruntukan Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (Pindaan) 2011 [Akta 400], katanya.

Ini penting, tambah Noh, agar ia tidak disalahgunakan oleh pemegang lesen yang tidak bertanggungjawab.