Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Amanat terakhir Haron Din minta dikebumikan di AS
Diterbitkan:  Sep 16, 2016 2:45 PM
Dikemaskini: 9:13 AM

Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Dr Haron Din mengamanatkan untuk dikebumikan di Amerika Syarikat (AS) jika ditakdirkan meninggal dunia di negara itu.

Amanat terakhir arwah itu disampaikan kepada ahli keluarga dan rakan seperjuangannya di negeri ini, menurut BH Online.

Memetik kenyataan Pesuruhjaya PAS Perlis, Mohd Shukri Ramli, pesanan tersebut disampaikan arwah di Pusat Rawatan Darussyifa di Santan, Kangar sebelum berlepas ke AS pada 10 September lalu.

"Amanat itu disampaikan sebagai persediaan kerana ini kali keenam Allahyarham menjalani pembedahan," katanya ketika dihubungi, menurut laporan yang sama.

Arwah yang juga pendakwah terkemuka meninggal dunia di Hospital Stanford University, San Francisco, AS pada usia 76 tahun.

Terdahulu, arwah dilaporkan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan selepas mengalami masalah jantung.

Beliau meninggalkan seorang isteri Datin Khatijah Din dan lima cahaya mata.

Allahyarham mula bergiat aktif dalam PAS sejak 1974 sebelum dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat (1975-1983) dan dipilih sebagai Mursyidul Am PAS selepas pemergian arwah Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Mengulas lanjut, Mohd Shukri berkata, solat jenazah ghaib akan diadakan di Kompleks PAS Perlis di Jalan Stadium Utama, Kangar malam ini.

ADS