SPR langgar semangat demokrasi dan prinsip keadilan, kata PKR
Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, proses persempadanan semula Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) disifatkan sebagai melanggar semangat demokrasi dan prinsip keadilan di negara ini.
Beliau yang juga ketua pembangkang Parlimen Malaysia menambah, ini kerana proses tersebut secara jelas mendatangkan keuntungan kepada UMNO dan Barisan Nasional.
"Saya menggesa agar seramai mungkin pengundi yang terkesan akibat pemindahan mendadak di kerusi-kerusi Parlimen dan DUN untuk segera memasukkan bantahan mereka.
"Saya percaya dengan iltizam rakyat untuk menentukan masa depan negara kita yang lebih cerah mengatasi segala keruncingan yang melanda.
"Ayuh anak muda jangan bazirkan masa dan peluang! Daftar sebagai pengundi. Masa depan negara di tangan anda!," kata beliau dalam kenyataan sempena Hari Malaysia.
Ahli Parlimen Segambut dari DAP, Lim Lip Eng mendakwa proses persempadanan semula Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur boleh menyebabkan Nurul Izzah Anwar kalah di Parlimen Lembah Pantai.
Ini ekoran peningkatan jumlah pengundi polis setelah kawasan mengundi polis dari kawasan Parlimen Segambut dipindahkan ke Lembah Pantai.
Mengulas lanjut, Wan Azizah berkata, semua pihak sedar dan sedia maklum mengenai Malaysia pada waktu ini berada di dalam krisis.
"Sama ada akibat politik perkauman sempit, skandal kewangan seperti 1MDB, ketirisan dan korupsi seperti tangkapan pegawai kanan DBKL, malah juga kepimpinan yang gagal menetapkan dasar yang mampu mengatasi krisis-krisis ini.
"Walaupun ramai yang mungkin bertanya ke mana hala tuju negara kita berikutnya, dan apakah kita mampu menyelesaikan masalah-masalah besar yang dialami sekarang, saya percaya ramai juga yang masih menaruh harapan bahawa wujud masa depan yang lebih baik buat Malaysia," jelasnya.
Untuk Hari Malaysia tahun ini, beliau berdoa agar semua terus istiqamah dalam perjuangan menegakkan keadilan dan melawan kezaliman sambil mengingat kembali semangat asal penubuhan Malaysia.

