SPR tak prihatin konsep ‘satu orang, satu undi’, kata Prof UM
Pensyarah Undang-undang Universiti Malaya (UM), Profesor Azmi Sharom yakin Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak mampu untuk menyelesaikan masalah persempadanan semula sebelum pilihan raya umum ke-14 (PRU-14).
Ia kerana, jelas beliau, berdasarkan sikap SPR sebelum ini dilihat tidak prihatin mengenai konsep ‘satu orang, satu undi’ yang diamalkan oleh negara demokrasi.
"Saya rasa tidak (boleh selesai sebelum PRU14) kerana pada pendapat saya, perangai mereka setakat ini tidaklah begitu peka dan prihatin terhadap prinsip '1 man, 1 vote' yang sangat penting di bawah sistem demokrasi,” katanya kepada pemberita di Padang Serbaguna UM selepas program 'Kad Merah Untuk Perkauman'.
Jelas Azmi lagi, penilaian yang teliti perlu dilakukan dan masalah berbangkit hendaklah diselesaikan terlebih dahulu oleh SPR sebelum perkara itu di putuskan.
“Saya rasa satu penilaian dan kajian yang teliti belum lengkap lagi tapi ia masih dalam proses lagi.
“Setakat ini, memang apa yang jelas adalah masalah sempadan politik yang ada tidak diselesaikan,” katanya.
Semalam, SPR memulakan Kajian Semula Persempadanan bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu dan Sabah.
Setiausaha SPR Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, kajian semula itu dilaksanakan mengikut peruntukan Fasal (2) Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan dan pindaan kepada Fasal (2) Perkara 14 Perlembagaan Negeri Sabah yang diwartakan pada 18 Ogos lalu.
Beliau berkata, SPR akan mempamerkan Syor Kajian Semula Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu dan Sabah selama satu bulan bermula Khamis ini hingga 14 Oktober.
Bagi Pengasas NGO Tindak Malaysia, Wong Piang Yow pula berkata, SPR perlu mematuhi beberapa syarat sebelum melaksanakan persempadanan semula.
“Adakah SPR boleh berlaku adil, telus dan berintegriti, adakah maklumat yang diberi cukup dan lengkap serta bolehkah amalan SPR itu memberi keyakinan kepada rakyat.
“Kalau syarat itu dipatuhi, persempadanan semula tiada masalah,” tegasnya kepada Malaysiakini.
Sementara itu, penganjur program kad merah untuk perkauman, Vince Tan berkata perlawanan bola sepak yang disertai oleh mahasiswa, ahli akademik dan beberapa NGO adalah bagi bersatu menentang perkauman.
“Ia menggandingkan kawan-kawan kita dalam pelbagai bidang. Kami bersatu kerana negara kita ada pelbagai isu perkauman, agama dan kita nak tunjukkan melalui sukan bola sepak kita boleh menyatu padukan rakyat Malaysia.
“Hari ini hari Malaysia, hari bermakna untuk kita, jadi di sini kita nak tunjuk mesej kad merah untuk perkauman iaitu bahawa rakyat Malaysia menentang perkauman,” katanya yang menambah ia perlawanan keempat yang dilakukan dalam tempoh setahun.
Program itu disertai seramai 30 orang. Ia bermula pada jam 4 petang dan tamat pada pukul 7 petang.

