Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PERKASA gesa Jeff Ooi mohon maaf
Diterbitkan:  Sep 18, 2016 10:14 AM
Dikemaskini: 2:22 AM

Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) menggesa agar wakil rakyat DAP Jeff Ooi memohon maaf kepada keluarga Allahyarham Datuk Dr Haron Din ekoran tindakannya yang dianggap biadap.

Menurut Pengerusinya Biro Hal Ehwal Islam PERKASA Dr Amini Amir Abdullah, tindakan Jeff Ooi yang menulis tentang kematian Haron dianggap tidak sopan dan menghina.

Sehubungan itu, PERKASA menggesa anggota parlimen Jelutong itu turut memohon maaf kepada semua umat Islam memandangkan bekas mursyidul am PAS itu merupakan seorang yang amat dihormati dan disegani di kalangan umat Islam sama ada di peringkat nasional atau antarabangsa.

"Jeff Oii diingatkan agar tidak membakar sentimen umat Islam di negara ini. PERKASA memberi amaran keras kepada beliau yang sering dilihat menghina Islam dan umat Islam di negara ini dengan kenyataannya yang biadap dan sangat kurang ajar di Malaysia.

"PERKASA juga meminta semua pengguna media sosial termasuk Facebook dan Twitter agar memohon maaf dan memadam semua tulisan dan komen yang kurang sopan mengenai pemergian Allahyarham Tuan Guru (Haron) yang mengejutkan semua umat Islam," katanya dalam kenyataan medianya.

Kumpulan pendesak Melayu itu juga meminta kepada semua pengundi Islam di negara ini agar tidak mengundi wakil rakyat yang menghina Islam serta ulamanya.

"PERKASA juga menggesa agar pengundi pengundi Islam agar tidak mengundi wakil-wakil rakyat yang menghina Islam dan para ulamanya.

"Jangan undi mereka yang menggunakan perkataan menghina, kurang ajar dan biadap. Ingatlah kita sebagai umat Islam mesti mempunyai maruah dan harga diri masing masing," ujarnya lagi.

Jumaat lalu, Jeff Ooi menulis "Adios Harun Din, let be peace" di laman Twitternya.

Ia kemudian mengundang pelbagai reaksi dan kritikan negatif pelbagai pihak.

Jeff Ooi kemudian menjelaskan di Twitternya bahawa maksud 'Adios' dalam bahasa Sepanyol ialah 'farewell' dan dalam Bahasa Malaysia sebagai 'selamat jalan'.

Antara yang mengkritik ialah Pengerusi PKR Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman yang menyelar sikap biadap dan tidak bertanggungjawab Jeff Ooi sebagai bebal dengan pihaknya tidak bersekongkol dan akan menjarakkan diri dengan tindakannya itu.

Malah, DAP turut melahirkan rasa kesal dengan kenyataan tidak sensitif anggota parlimennya yang dikatakan mempersenda kematian Haron.

Lihat Komen
ADS