Dialog Hadi, persatuan Cina gagal halang kempen bantah pindaan Akta 355
Walaupun Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang hadir memberi penerangan mengenai pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, ia tidak menghalang Persekutuan Persatuan Hokkien Malaysia daripada terus mengumpulkan tandatangan untuk menolak pindaan berkenaan.
Presiden Persekutuan Persatuan Hokkien, Tan Sri Khoo Chai Kaa mengakui beliau tidak memahami ucapan Hadi dan akan terus mengumpulkan tandatangan bagi membantah pindaan Akta 355 itu.
"Seperti yang saya nyatakan, rang undang-undang itu membimbangkan rakyat Malaysia. Kami keluarga besar, semua orang menerima kesan oleh (akta) parlimen.
"Ia adalah isu awam, kami mempunyai hak untuk memberikan pendapat," katanya kepada pemberita selepas Hadi mengunjungi persatuan Hokkien pagi ini untuk menerangkan cadangan PAS meminda akta berkenaan.
Ini adalah kali pertama Hadi mengadakan dialog bersama Persatuan Cina.
Semasa dialog itu, Hadi menegaskan pindaan yang dicadangkan hanya melibatkan muslim dan bukan muslim tidak terjejas dengan undang-undang itu.
Katanya, daripada 222 anggota parlimen, hanya 135 daripada mereka adalah muslim dan jumlah itu tidak sampai dua pertiga untuk melaksanakan undang-undang hudud.
"Apa yang boleh dibuat adalah untuk mengangkat mahkamah syariah," katanya.
Hadi menambah pindaan itu adalah untuk mengangkat taraf mahkamah syariah dan bukan melaksanakan hudud, qisas ataupun takzir.
"Mahkamah syariah adalah mahkamah paling tinggi bagi muslim," jelasnya.

