438 pertubuhan anjur bantahan anti-Jepun di seluruh negara
Terjemahan Kerajaan Jepun mesti menolak sebarang perbuatan sengaja mengubah fakta sejarah perangnya serta mesti berhenti menziarahi Candi Yasukuni bagi memperingati tentera Jepun yang terkorban, termasuk mereka yang telah melakukan jenayah perang.
Terjemahan Kerajaan Jepun mesti menolak sebarang perbuatan sengaja mengubah fakta sejarah perangnya serta mesti berhenti menziarahi Candi Yasukuni bagi memperingati tentera Jepun yang terkorban, termasuk mereka yang telah melakukan jenayah perang.
Ini adalah antara tuntutan yang dibuat dalam tiga perjumpaan dan majlis memperingati Perang Dunia Kedua yang diadakan di Kuala Lumpur, Ipoh dan Seremban yang disertai kira-kira 438 badan sivil.
Menurut Pegawai Eksekutif Dewan Perhimpunan Cina Selangor (SCAH) Tang Ah Chai, perjumpaan di Kuala Lumpur mendesak kerajaan Malaysia supaya tidak menyokong sebarang cadangan untuk memilih Jepun menjadi anggota tetap Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu.
"Pemohonan maaf secara lisan oleh Perdana Menteri Junichiro Koizumi, walaupun dialu-alukan, adalah tidak mencukupi," katanya.
Jumaat lalu, Koizumi memohon maaf dan melahirkan rasa penyesalan yang 'tidak terhingganya' terhadap kekejaman yang dilakukan Jepun sewaktu penjajahan dan peperangan di Asia.
Bantahan yang diadakan di Kuala Lumpur itu dianjurkan bersama oleh SCAH dan badan kemasyarakatan yang berpengaruh seperti Persatuan Jawatankuasa Sekolah Bersatu Cina (Dongzong) dan Persatuan Guru Sekolah Bersatu Cina (Jiaozong).
Memorandum bantahan SCAH itu ditandatangani oleh 328 badan, termasuk dewan perniagaan, persatuan perdagangan, persatuan-persatuan dan alumni graduan.
Pengalaman pahit
Turut hadir di perjumpaan di Kuala Lumpur ialah Soon Kian Seng, 70, yang bapanya dan ramai anggota keluarganya dibunuh oleh tentera Jepun dalam peristiwa pembunuhan beramai-ramai di Kampong Parit Tinggi, dekat Kuala Pilah, Negri Sembilan pada tahun 1942.
Sambil memegang gambar susunan tengkorak manusia yang dipercayai mangsa-mangsa pembunuhan beramai-ramai itu di kampungnya, Soon menceritakan pengalamannya itu.
"Saya berumur tujuh tahun ketika saya menyaksikannya berlaku....Tentera Jepun datang ke kampung ini dan mereka berkata yang mereka hanya mahu memeriksa surat pengenalan diri kami...Ketua kampung kami mengalu-alukan kedatangan mereka, malah telah mengadakan jamuan makan tengahari untuk mereka, tetapi selepas majlis tersebut, mereka mula mengumpulkan setiap orang dewasa, lelaki dan perempuan, dan kemudian membunuh mereka beramai-ramai," katanya.
Menurut Soon, dalam tempoh dua hari pada 15 dan 16 Mac kira-kira 800 penduduk telah dibunuh, termasuk bapanya dan anggota keluarganya yang lain serta sanak saudaranya.
Pada tahun lalu, kisah hidup Soon mengenai peristiwa pembunuhan beramai-ramai itu serta hasil siasatannya mengenai kekejaman tentera Jepun di Semenanjung Malaysia dan Singapura, telah dibuku dan diterbitkan oleh Pusat Penyelidikan Pembunuhan Beramai-ramai Nanjing di China. Penerbitannya dibiayai oleh Yayasan Lee dari Singapura.
Sementara itu, 150 perwakilan yang menghadiri majlis bantahan yang sama di Ipoh, turut memberi penghormatan kepada mereka yang terkorban yang disemadikan dalam kawasan Sekolah Menengah Yuk Choy di Jalan Kuala Kangsar.
Thong Yi, selaku jurucakap mereka, berkata lokasi monumen dan kawasan persekitarannya merupakan 'tempat pembunuhan' selepas pejuang dan orang ramai yang menentang Jepun di Perak di seksa dan dibunuh sepanjang 44 bulan pendudukan Jepun.
Beliau juga gembira kerana jumlah badan-badan sivil yang menyokong majlis bantahan tersebut semakin meningkat daripada hanya 20 pada asalnya, kepada 60 semalam.
Tidak jujur
Tong juga menyifatkan pemohonan maaf oleh Koizumi sebagai 'tidak ikhlas' kerana anggota kerajaannya di Parlimen masih mengunjungi Candi Yasukuni.
"Anda tidak boleh menyatakan satu perkara, tetapi pada masa yang sama, meminta atau membenarkan rakan-rakan anda melakukan perkara sebaliknya...Itu hanyalah sifat berpura-pura sahaja dan sikap itu sentiasa diulang-ulang sejak sekian lama," katanya.
Di Seremban pula, kira-kira 200 wakil 50 badan sivil di negeri itu berkumpul di monumen yang diabadikan untuk mangsa pembunuhan beramai-ramai di Kampung Ee Lang Lang, sesrta diadakan majlis memperingati mangsa terbabit.
Menurut catatan sejarah yang simpan oleh masyarakat Cina Malaysia, 1,474 penduduk yang tidak bersenjata di Kampung Ee Lang Lang di Titi dekat Seremban dikepung dan dibunuh beramai-ramai oleh tentera Jepun pada 18 Mac 1942. Mereka turut membakar kampung tersebut.
Sejarah pencerobohan dan pendudukan tentera Jepun di negeri itu turut diperdengarkan di majlis peringatan itu yang diadakan oleh Dewan Perhimpunan Cina Negeri Sembilan itu.
Dalam majlis peringatan yang diadakan pada tahun 20003 bagi memperingati 18 pemimpin utama komunis dan anggota pasukan Tentera Anti Jepun Rakyat Malaya (MPAJA) yang dibunuh oleh tentera Jepun di Batu Caves, dekat Kuala Lumpur pada 1 September 1942, para hadirin diberitahu, kira-kira 70,000 mangsa pelbagai kaum dibunuh manakala 80,000 lagi terkorban akibat diseksa dan dipenjara, sepanjang pendudukan Jepun.
Manakala 300,000 lagi mati kerana kekurangan makanan dan menjadi buruh paksa.
Rekod Peringatan Perang di Singapura pula mencatatkan kira-kira 50,000 penduduk Cina yang tidak bersenjata dibunuh beramai-ramai dalam satu operasi yang bermula pada 18 Februari 1942 tiga hari selepas tentera British menyerah kalah.
Penentangan bersenjata terhadap penduduk Jepun di Malaya dan Singapura ketika itu di didokong oleh Parti Komunis Malaysia (PKM) dan pasukan gerila MPAJA dengan kekuatan seramai 10,000 anggota.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.