Terjemahan Panglima Angkatan Tentera Indonesia hari ini berkata beliau tidak tahu menahu mengenai perjanjian dengan Malaysia untuk menghadkan jumlah kapal perang masing-masing di perairan sempadan tuntutan bertindih Laut Sulewasi.

Jeneral Endriartono Sutarto berkata, beliau belum mendapat pengesahan mengenai kenyataan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa kedua-dua belah pihak, masing-masing bersetuju, hanya satu kapal perang sahaja dari setiap negara, meronda perairan tersebut.

"Setakat ini tiada laporan mengenainya," kata Sutarto, yang diiringi oleh Panglima Tentera Laut Indonesia, Timbalan Laksamana Slamet Subiyanto, kepada pemberita.

"Kehadiran kita di sana adalah satu kemestian," katanya apabila ditanya sama ada pihak tentera laut republik itu akan mengurangkan kapal perangnya kepada sebuah sahaja yang meronda Laut Sulewasi.

Najib, yang juga menteri pertahanan berkata, perjanjian itu dicapai dalam perjumpaan antara Panglima Tentera Laut Malaysia dan Indonesia baru-baru ini.

Bagaimanapun, Subiyanto juga berkata yang beliau tidak menerima sebarang laporan mengenai persetujuan tersebut.

Pelanggaran kapal

Awal bulan ini, kapal perang Malaysia dan Indonesia berlanggar dan bergesel dekat terumbu karang Unarang di timur kepulauan Borneo di mana Indonesia sedang membina rumah api bagi menguatkan lagi tuntutannya ke atas wilayah yang terbabit dalam pertikaian tersebut.

Kedua-dua negara, masing-masing telah menghantar nota bantahan rasmi berhubung kejadian tersebut.

Ketegangan tercetus selepas Malaysia memberi konsesi carigali minyak di kawasan tersebut pada 16 Februari lalu kepada syarikat Shell. Jakarta mendakwa blok tersebut terletak di luar wilayah Malaysia.

Pegawai kedua belah pihak sudahpun memulakan rundingan bagi menyelesaikan isu tuntutan bertindih itu bulan lalu dan dijadual bertemu lagi bulan depan.

Malaysia dan Indonesia pernah bertelagah mengenai isu tuntutan sempadan bertindih membabitkan dua buah pulau. Bagaimanapun, ianya selesai pada Disember 2002 selepas Mahkamah Keadilan Antarabansa memutuskan, kedua-dua pulau tersebut milik Malaysia.

AFP.