SPR sangkal persempadanan beri manfaat parti tertentu
Susulan kritikan pada syor persempadanan semula, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyarankan pihak berkelayakan dalam bidang perundangan membuat bantahan.
Bantahan patut dibuat pada masa ditetapkan dan "bukannya membuat tuduhan melulu" terhadap badan itu, kata pengerusinya Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah.
"SPR mengalu-alukan setiap bantahan dan representasi, namun begitu ia perlu dikemukakan secara rasmi mengikut saluran dan perundangan yang ditetapkan," katanya.
Syor persempadanan semula yang dikeluarkan Isnin lalu didakwa hanya memberi kelebihan kepada Umno.
Ia dikatakan boleh mengurangkan kerusi campuran akibat peralihan pengundi, meningkatkan majoriti Melayu dan mengurangkan perwakilan bukan Melayu di kawasan berkenaan.
Antara contoh, pengundi bukan Melayu dilambakkan dalam satu kawasan seperti di Damansara dengan jumlah pengundi sebanyak 150,439 berbanding di Parit, Perak yang ditandingi Umno dengan pengundi seramai 33,368.
Sementara itu, Mohd Hashim juga berkata SPR tidak akan membuat kenyataan lanjut berkaitan dakwaan-dakwaan dilontarkan.
"Syor-syor yang dipamerkan itu adalah cadangan awal dan bukannya muktamad kerana ia perlu melalui proses siasatan tempatan dan perlu mendapat kelulusan Dewan Rakyat sebelum boleh dikuatkuasakan," katanya.
SPR juga menolak dakwaan persempadanan semula dibuat demi kepentingan pihak tertentu.
"...dakwaan tersebut adalah tidak benar," kata Mohd Hashim.

