Terjemahan Lawatan bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad ke Amerika Syarikat pada tahun 2002 dibiayai sepenuhnya oleh pihak kerajaan dan telah diaudit mengikut prosedur, kata Setiausaha Parlimen Kementerian Luar Negeri, Datuk Zainal Abidin Osman hari ini.

Ketika menjawab soalan Ketua Pembangkang Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timor), beliau memberitahu Dewan Rakyat bahawa lawatan tersebut diatur melalui saluran-saluran diplomatik.

"Tun (Mahathir) memang melawat Amerika pada tahun 2002. Beliau ke sana atas jemputan Presiden Amerika George W Bush," katanya ketika menggulung Rang Undang-undang 2005 Perbekalan Tambahan (2004) di peringkat jawatankuasa.

Zainal berkata, beliau tidak mempunyai maklumat sama ada berlaku kegiatan melobi yang membabitkan wang kerajaan, sebelum lawatan itu dibuat.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, kesemua perbelanjaan lawatan tersebut dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan dan akaun terbabit telah diaudit.

Baru-baru ini, akhbar Washington Post mendakwa Dr Mahathir telah mengupah pelobi di Washington melalui Yayasan Heritage yang berpejabat di Amerika untuk memujuk Rumah Putih supaya bersetuju dengan lawatan tersebut.

Berjuta ringgit dibelanjakan

Laporan itu juga mendakwa, perbelanjaan untuk kegiatan melobi itu berjumlah kira-kira RM5.3 juta.

Menurut akhbar itu lagi, siasatan mendedahkan wang tersebut dibayar kepada syarikat Belle Haven Consultants di Hong Kong, yang ada kaitan dengan Presiden Yayasan Heritage, Edwin Feulner - yang menyalurkan wang tersebut kepada pelobi di Washington.

Akhbar itu juga melaporkan bahawa Yayasan Heritage kurang mengkritik Malaysia selepas Haven menerima kontrak berjuta-juta ringgit itu untuk melobi bagi pihak Kuala Lumpur.

Mahathir bertemu Bush di Rumah Putih pada bulan Mei 2002 dan merupakan lawatan pertama beliau ke Amerika sejak tahun 1994.