Komen jelik ke atas Raja Muda: Bekas KM Melaka kena denda
Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini menjatuhkan hukuman denda RM1,900 atau penjara tiga bulan ke atas bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik kerana membuat komen bersifat jelik terhadap Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah, di Facebook miliknya, tahun lalu.
Hakim Slamat Yahya menjatuhkan hukuman itu selepas Abdul Rahim, 65 mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan dipenjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda. Beliau membayar denda.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233 (3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya.
Abdul Rahim turut memohon maaf secara terbuka kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Amir serta menyatakan kekesalan atas perbuatannya itu.
Hakim Slamat ketika menjatuhkan hukuman, menegur perbuatan bekas ketua menteri Melaka itu dan menyatakan Abdul Rahim sepatutnya menghormati serta memelihara institusi diraja yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Slamat turut mengingatkan Abdul Rahim supaya mengambil maklum aspek Raja Berperlembagaan dan memberi taat setia kepada sultan serta raja-raja di Malaysia.
Mahkamah dalam pada itu menasihati Abdul Rahim supaya menjaga komen-komen yang dibuat dalam media sosial bagi memastikan keharmonian dan keselamatan negara terjamin.
Abdul Rahim didakwa melakukan kesalahan itu menggunakan akaun Facebook Rahim TambyChik di Istana Mestika, Jalan Permata 7/1 di Shah Alam, kira-kira 8 pagi pada 25 Sept tahun lalu.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan dihukum mengikut Seksyen 233 (3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya.
Bekas ketua menteri Melaka itu sebelum ini mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan utama menyiarkan penerbitan menghasut mendakwa Raja Muda Selangor sebagai murtad di akaun Facebook milik beliau di tempat, masa dan tarikh yang sama.
Bagi kesalahan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 4 (1)(c) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4 (1) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya Datuk Nik Suhaimi Nik Sulaiman menarik balik pertuduhan itu.
Selain Nik Suhaimi, pendakwaan turut diwakili Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar dan Afzainizam Abdul Aziz sementara Abdul Rahim diwakili peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin.
Datuk Salehuddin Saidin pula hadir sebagai peguam pemerhati bagi pihak Istana Selangor.

