Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tangkapan tak sah, bekas wartawan boleh saman - peguam
Diterbitkan:  Sep 20, 2016 3:55 PM
Dikemaskini: 9:12 AM

Bekas wartawan Sidek Kamiso boleh menyaman polis kerana menahannya secara tidak sah memandangkan tangkapan dibuat tanpa waran, seperti yang dinyatakan oleh Seksyen 258 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM).

"Dia boleh memfailkan saman sivil bagi tangkapan dan penahanan yang tidak sah.

“Jika dia sebenarnya ditangkap tanpa waran sedangkan undang-undang mensyaratkan polis perlu mempunyainya, maka tindakan itu menyalahi undang-undang," kata peguam, Syahredzan Johan kepada Malaysiakini.

Sidek ditahan pada awal pagi Isnin lalu atas dakwaan menghantar tweet yang dikatakan "menghina Islam".

Beliau didakwa menulis tweet berhubung pemergian Mursyidul Am PAS, Datuk Haron Din, yang meninggal dunia pada 16 September lalu.

Isteri Sidek, Norlin Wan Musa mendakwa polis menceroboh rumah mereka dengan memanjat pagar untuk memasuki premis itu serta gagal mengemukakan waran tangkap apabila diminta.

Mereka turut merampas telefon dan komputer Sidek, dan membawanya ke Johor Bahru di mana laporan polis terhadapnya dibuat.

Syahredzan berkata, bekas wartawan itu juga boleh menngambil tindakan undang-undang ke atas polis kerana menceroboh kawasan rumahnya.

"Ada alasan untuk itu jika (penggeledahan di rumahnya) tidak mengikut undang-undang. Beliau juga boleh membuat tuntutan untuk ganti rugi," katanya.

Seksyen 258, AKM membenarkan penggeledahan dan rampasan tanpa waran, tetapi Syahredzan berkata polis perlu memberi justifikasi mengapa mereka berbuat demikian.

Peguam Andy Yong pula berkata Sidek juga boleh menyaman pihak polis kerana membuat ugutan dan menakut-nakutkan ahli keluarga, termasuk anak-anaknya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif, Lawyers for Liberty Eric Paulsen berkata terdapat terlalu banyak pendakwaan yang dibuat mengikut AKM.

"Rakyat Malaysia dan kerajaan perlu bersetuju dengan terma media sosial. Kita perlu menerima kebaikan dan juga keburukannya.

"Ini hanya (dakwaan) remeh-temeh, walaupun (komen-komen dalam talian itu) tak manis, tetapi pada akhirnya, ia tidak sepatutnya dianggap sebagai jenayah," kata Paulsen.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada tindakan yang diambil terhadap Sidek adalah berlebihan, berbanding denda RM1,900 yang dikenakan ke atas bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Rahim Thamby Chik yang membuat komen jelek ke atas Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah tahun lalu.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS