PAS Selangor tawar 'kelas matematik' jawab tuduhan
PAS Selangor menawarkan khidmat pembelajaran matametik kepada pihak yang mendakwa persempadanan semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menguntungkan parti itu.
Pesuruhjayanya, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata PAS terkejut apabila ada pihak mendakwa persempadanan semula dicadangkan SPR berkenaan membawa faedah kepada parti berkenaan di Selangor.
Sebaliknya kata Iskandar cadangan SPR itu memberi kesan besar kepada PAS serta parti lain.
"Cadangan itu hanya menguntungkan Umno," katanya dalam kenyataan hari ini.
Malaysiakini pada 13 September lalu melaporkan SPR melaksanakan kajian semula persempadanan bagi kerusi Parlimen dan dewan undangan negeri (DUN) bagi seluruh negara - kecuali Sarawak - mulai Khamis ini.
Setiausaha SPR Datuk Abdul Ghani Salleh berkata kajian semula itu dilaksanakan mengikut peruntukan Fasal (2) Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan dan pindaan kepada Fasal (2) Perkara 14 Perlembagaan Negeri Sabah yang diwartakan pada 18 Ogos lalu.
SPR akan mempamerkan syor kajian semula persempadanan itu selama satu bulan sehingga 14 Oktober.
Bagaimanapun ia mendapat reaksi negatif daripada pelbagai pihak terutama parti pembangkang.
Di Johor Pakatan Harapan (HARAPAN) mendakwa cadangan berkenaan - jika diterima di parlimen nanti - akan membantu menamatkan kerjaya politik bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Muhyiddin kini menjadi presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) selepas dipecat daripada Umno.
Menurut HARAPAN berlaku penurunan 22.24 peratus pengundi di kerusi parlimen Pagoh yang kini diwakili Muhyiddin.
Pensyarah Undang-undang Universiti Malaya Prof Azmi Sharom pula berkata SPR sebelum ini dilihat tidak prihatin mengenai konsep "satu orang, satu undi" yang diamalkan sesebuah negara demokrasi.
Kawasan exco juga terancam
Tan Sri Noh Omar pula berkata pembangkang tidak memahami proses persempadanan semula kawasan pilihan raya dan asyik menyalahkan kerajaan berhubung perkara itu.
Pengerusi perhubungan Umno Selangor itu memberitahu partinya juga tidak berpuas hati kerana ia dijangka mengurangkan jumlah pengundi Melayu di beberapa kawasan yang sebelum ini mempunyai majoriti pengundi Melayu yang tinggi di negeri berkenaan.
Menurut Iskandar tuduhan mendakwa PAS mendapat manfaat daripada perubahan dicadangkan SPR berkenaan "berniat jahat dan tidak berdasarkan fakta".
Katanya, melalui persempadanan semula itu ada daerah mengundi yang memihak kepada PAS dikeluarkan daripada kawasan yang dimenangi parti berkenaan.
Pada masa sama kata Iskandar ada daerah mengundi yang dimenangi BN di kawasan lain dibawa masuk ke kawasan kini dikuasai PAS, seperti dialami di DUN Chempaka yang diwakilinya ketika ini.
"Lima daerah mengundi yang dimenangi PAS pada pilihan raya umum ke-13 lalu - iaitu Taman Dagang, Taman Cahaya, Pandan Mewah, Kampung Baru Ampang 3 dan Pandan Indah Jalan 5 dikeluarkan dari kawasan tersebut.
"Daerah mengundi Kampung Cheras Baru Timur yang dimenangi BN di kawasan Teratai dimasukkan ke Chempaka.
"Akibat daripada itu berdasarkan keputusan PRU-13, majoriti bagi Chempaka akan berkurangan 1,829 undi," katanya.
Iskandar yang juga Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar Selangor berkata keadaan sama turut berlaku pada banyak kerusi PAS.
Malah katanya berdasarkan keputusan PRU-13, ada beberapa kerusi yang berpotensi terlepas daripada PAS.
"Oleh yang demikian, kami menggesa pihak yang menyebarkan fitnah (persempadanan semula) ini (menguntungkan PAS) menghentikan tindakan mereka.
"Jika mereka tidak pandai mengira, kami bersedia menyediakan kelas matematik untuk mereka," katanya.

