Malaysia dan Singapura hari ini menandatangani Perjanjian Penyelesaian bagi mengakhiri pertikaian mengenai aktiviti penambakan laut di sekitar Selat Johor.

Perjanjian itu ditandatangani Ketua Setiausaha Kementerian Luar Tan Sri Ahmad Fuzi Abdul Razak bagi pihak kerajaan Malaysia manakala Singapura diwakili Duta Kembara Singapura Prof. Tommy Koh.

Menurut laporan Bernama , Menteri Luar Datuk Seri Syed Hamid Albar dan rakan sejawatannya dari Singapura George Yeo Yong Boon menyaksikan majlis menandatangani perjanjian itu di Kementerian Luar Singapura di sini.

Pertikaian tersebut timbul pada 2002 apabila Singapura memulakan aktiviti penambakan laut di sepanjang bahagian timur dan utara Selat Johor.

Malaysia merujuk pertikaian itu kepada Tribunal Undang-Undang Laut Antarabangsa (ILTOS) yang kemudian pada Oktober 2003 mengarahkan kedua-dua negara melakukan kajian bersama dan cadangan langkah-langkah mitigasi.

Singapura akan membayar ganti rugi sepenuhnya kepada nelayan Malaysia yang mengalami kerugian akibat kegiatan menambak laut oleh republik itu di sekitar Selat Johor.

Tarik balik kes

Menerusi satu perjanjian yang dimeterai itu, ini, wang sebanyak RM374,000 berdasarkan kepada RM5,200 bagi setiap nelayan, akan dibayar melalui kerajaan Malaysia.

Sebagai sebahagian daripada penyelesaian itu, Malaysia menarik balik kes yang dibawanya ke Tribunal Antarabangsa Bagi Undang-undang Laut, dan Singapura pula bersetuju membuat pengubahsuaian dalam kerja penambakan itu.

Perjanjian itu membenarkan Singapura meneruskan kerja menambak di Selat Johor, laluan antarabangsa yang sempit antara kedua-dua negara, dan pada masa yang sama akan bekerjasama dengan Malaysia untuk menjamin keselamatan perjalanan kapal di situ dan melindungi alam sekitar.

Ketua Setiausaha Kementerian Luar Malaysia Tan Sri Ahmad Fuzi Abdul Razak dan Duta Tugas-tugas Khas Singapura Prof Tommy Koh menandatangani bagi pihak kerajaan masing-masing.

Kedua-dua negara juga bersetuju meluaskan bidang tugas Jawatankuasa Bersama Malaysia-Singapura Mengenai Alam Sekitar bagi merangkumi urusan pertukaran maklumat dan perbincangan perkara-perkara yang melibatkan alam sekitar masing-masing di Selat Johor.

Mereka juga bersetuju untuk menjalankan kegiatan pemantauan berhubung alam sekitar masing-masing di Selat Johor dan menangani sebarang kesan buruk.

Tugas pemantauan ini termasuk menilai kualiti air bagi melindungi kehidupan laut dan sungai serta juga ekologi dan morfologi.