Bekas pengarah urusan dituduh rasuah RM9j
Seorang pengarah urusan sebuah syarikat berkaitan kerajaan Sabah didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu atas tuduhan pecah amanah.
George @ Juaari Majid didakwa melakukan kesalahan itu melalui empat transaksi bagi meluluskan penyerahan wang kepada seorang pemilik syarikat kelapa sawit, How Kim San, tanpa pengetahuan dan kelulusan Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Kemajuan Tanah Sabah serta Menteri Kewangan Sabah.
Jumlah wang yang terlibat ialah kurang 70 sen untuk genap RM9 juta - atau RM8,999,999.30.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dalam kenyataannya hari ini memberitahu ketika kejadian tertuduh bertugas sebagai Pengarah Urusan Lembaga Kemajuan Sabah.
Juaari dituduh mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan manakala How didakwa mengikut Seksyen 109 yang dibaca bersama Seksyen 409 kerana bersubahat.
Mengikut pertuduhan Juari, 63, didakwa membuat bayaran pampasan kepada How untuk tanah dan tanamannya di Kampung Babason, Sook di Keningau Sabah walaupun tanah seluas 165.92 hektar itu sebenarnya milik kerajaan negeri.
Kedua-dua mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Wisma Sabah Land Development Board antara 22 Mac dan 14 Ogos 2013.
Jika sabit kesalahan Juaari dan How boleh dipenjara tidak kurang dua tahun dan sehingga 20 tahun, serta denda.
Hakim Abu Bakar Manat menetapkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM100,000 dan dua penjamin bagi setiap seorang sementara menunggu kes berkenaan disebut semula pada 27 Oktober ini.
Juaari dan How juga perlu menyerahkan pasport masing-masing kepada mahkamah.
Kes berkenaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib.

