Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkonspirasi untuk menggulingkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad walaupun beliau secara terbuka menyatakan sokongannya.

Saksi, Datuk Lokman Noor Adam berkata Anwar menyatakan sokongannya kepada Mahathir pada Perhimpunan Agung Umno 1998, dan beliau hadir di sana untuk mendengar ucapan Anwar. Mahathir ketika itu adalah presiden Umno manakala Anwar sebagai timbalannya.

Justeru, kata Lokman, beliau terkejut apabila mendapat tahu bahawa tidak lama selepas perhimpunan itu, setiausaha politik Anwar ketika itu, Datuk Ezam Mohd Nor memintanya untuk bertemu dengan tiga yang lain.

"Ezam meminta saya untuk menyertai gerakan Anwar untuk menjatuhkan Mahathir.

"Beliau berkata, Anwar tidak lagi boleh bekerja dengan perdana menteri dan Anwar bersedia untuk bertanding jawatan presiden Umno," katanya semasa pemeriksaan oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sebagai saksi defendan keempat.

Beliau berkata Anwar mencari sokongan untuk mengerakkan jenteranya dalam kempen untuk merampas jawatan presiden parti.

Lokman berkata demikian dalam saman fitnah RM100 juta Anwar terhadap Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang didakwa membayangkan bahawa Anwar adalah seorang homoseksual dalam ucapan di Lembah Pantai, Kuala Lumpur pada tahun 2008.

Khairy, semalam memberitahu mahkamah semalam kata-katanya yang didakwa bersifat seksual mengenai bekas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim telah diambil di luar konteks.

Beliau menafikan bahawa perkataan yang digunakan pada tahun 2008 itu termasuk frasa 'main belakang', bertujuan mempunyai apa-apa konotasi seksual.

Sebagai sebahagian daripada pembelaannya beliau juga berkata Anwar pernah mengkhianati sekutu politiknya sebelum ini.

[Baca berita penuh]