Indeks Harga Pengguna (IHP) pada Ogos 2016 naik sebanyak 1.5 peratus kepada 115.6 berbanding 113.9 dicatatkan pada
bulan sama tahun lepas.

Antara kumpulan utama yang mencatatkan peningkatan adalah indeks minuman alkohol & tembakau yang naik sebanyak 19.7 peratus berbanding Ogos 2015, makanan & minuman bukan alkohol (+3.5 peratus) dan perumahan, air, elektrik, gas & bahan api lain (+2.1 peratus), menurut Jabatan Perangkaan Malaysia dalam
kenyataan hari ini.

Kumpulan lain yang mencatatkan peningkatan adalah pelbagai barangan dan perkhidmatan (+2.5 peratus) dan kesihatan (+2.2 peratus).

Bagaimanapun, kumpulan pengangkutan susut sebanyak 6.7 peratus berbanding Ogos 2015 diikuti komunikasi (-2.4 peratus) dan pakaian & kasut (-0.6 peratus).

Berbanding bulan sebelumnya, IHP pada Ogos 2016 naik 0.4 peratus kepada 115.6 daripada 115.1 pada Julai.

IHP bagi tempoh Januari hingga Ogos 2016 mencatatkan kenaikan sebanyak 2.3 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas, didorong oleh peningkatan dalam kumpulan utama dengan peratusan perbelanjaan tinggi seperti makanan & minuman bukan alkohol (+4.2 peratus) dan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api
lain (+2.6 peratus).

Kenaikan lain ialah indeks minuman alkohol & tembakau (+21.4 peratus),
pelbagai barangan dan perkhidmatan (+3.5 peratus), restoran dan hotel (+3.2 peratus), kesihatan (+3.0 peratus) dan hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isirumah (+2.9 peratus).

-Bernama